Badan khas yang lebih ketat perlu ditubuhkan kawal aktiviti selepas PKP

Hasimi Muhamad
Januari 27, 2021 10:27 MYT
PKP yang sedang dilaksanakan ketika ini wajar dikekalkan, namun perubahan perlu dilakukan dalam memastikan sektor ekonomi terus bernafas. Gambar fail - Astro AWANI / Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Sebuah badan khas yang lebih ketat perlu ditubuhkan untuk menjalankan pemantauan berhubung prosedur operasi standard (SOP) melibatkan aktiviti-aktiviti yang dibenarkan selepas tempoh Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berpandangan, kebanyakan SOP yang dilaksanakan ketika ini tidak dapat dipatuhi sehingga mengakibatkan kewujudan kluster-kluster baharu.
Bagaimanapun, beliau berkata PKP yang sedang dilaksanakan ketika ini wajar dikekalkan, namun perubahan perlu dilakukan dalam memastikan sektor ekonomi terus bernafas.
"Beberapa kali saya mengambil contoh SOP di masjid. Ia dilaksanakan dengan begitu konsisten dalam tempoh PKP Bersyarat (PKPB), PKP Pemulihan (PKPP) dan sehingga hari ini.
"Jadi bagi saya ia wajar dicontohi dan diteladani serta diambil manfaat bagi membolehkan ekonomi kita bernafas dan dalam masa yang sama kita berusaha untuk mengurangkan kes-kes jangkitan dalam masyarakat," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Rabu.
Dalam masa yang sama, Dr Malina bersetuju jika beberapa sektor ekonomi diberikan tumpuan khusus bagi membolehkan penguatkuasaan yang sistematik ke atas industri berkenaan.
"Pada pandangan saya, sejak kita laksanakan PKP 1.0 dan kita melaksanakan PKPP, berlaku kelonggaran (SOP) sedikit di tempat kerja.
"Mereka menganggap kawan-kawan yang rapat tidak mungkin mendapat jangkitan, sedangkan kita sudah memberikan nasihat berkali-kali bahawa kita perlu menganggap mereka yang bukan dari keluarga kita sebagai 'positif COVID-19', selagi mana ia tidak dibuktikan.
"Jadi, walaupun dengan rakan di tempat kerja, kita menganggap mereka sebagai potensi-potensi yang dapat menular transmisi. Jadi, langkah pencegahan itu dapat diambil dengan lebih baik," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan penurunan kes jangkitan boleh berlaku sekiranya SOP yang ditetapkan dapat dipatuhi sepanjang tempoh PKP, ketika ini.
#COVID-19 #PKPP #PKPB #PKP #Kluster tempat kerja #Badan khas pemantauan #PKP 2 0