Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah menyarankan supaya debat terbuka mengenai isu Taman Manggis antara Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dibatalkan.

Menurut Pengerusi JKMR, Tan Sri Abu Zahar Ujang, sekiranya debat tersebut diteruskan, ia dibimbangi menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Mengambil kira perkembangan semasa, selaku Pengerusi JKMR saya berharap semoga kesemua pihak yang terbabit, agar mempertimbangkan semula idea perdebatan tersebut," kata Abu Zahar dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya, JKMR selaku badan yang memantau perjalanan SPRM telah mengikuti dengan terperinci rancangan debat berkenaan.

Justeru itu, Abu Zahar menggesa semua pihak supaya memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

"Jika mana-mana pihak mempunyai fakta, dokumen-dokumen atau sebarang bukti dan saksi berkaitan isu Taman Manggis ataupun banglo yang dibeli oleh Guan Eng, wajar mengemukakan kepada SPRM daripada mengadakan debat secara terbuka," ujarnya.

Abdul Rahman dan Guan Eng sebelum ini telah menyatakan kesediaan untuk berdebat mengenai isu tanah Taman Manggis.

Abdul Rahman ketika ini sedang dalam rangka lawatan rasmi ke luar negara dan dijangka kembali ke tanahair pada 18 April ini.