"Bahagia, kekayaan apabila bersama keluarga" - Ebit Lew rai Tahun Baharu Cina

Astro Awani
Februari 13, 2021 09:32 MYT
Menerusi media sosial, Ebit berkongsi suasana sambutan sederhana Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarganya. - Foto: Instagram @ebitlew
KUALA LUMPUR: Berbeza latar bahasa, budaya, agama atau kepercayaan tidak seharusnya menjadi tembok yang memisahkan hubungan sesama manusia, malah itulah peluang terbaik untuk membina lebih banyak jambatan kemesraan dan keharmonian.
Begitu juga apabila seseorang itu mengenali dan memeluk agama Islam dan bergelar mualaf. Ia bukanlah alasan untuk memutuskan tali silaturahim dengan ahli keluarga yang berlainan agama.
Itulah mesej yang diterjemahkan oleh pendakwah dan penceramah terkenal, Ebit Lew, yang meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarganya.
Menerusi status berserta video dan beberapa foto yang dikongsikan di media sosialnya, Ebit Lew akui beliau amat merindui keluarganya.
"Setahun sekali baru dapat bertemu. Ini dah setahun kita tak berjumpa.
"Ramai tahun ni tak dapat bertemu. Semoga tahun depan COVID-19 sudah tiada, kita semua dapat bertemu semuanya.
"Bahagia dan kekayaan ialah dapat bersama keluarga yang kita cintai dan sayangi. Bahagia sangat rasa," katanya.
Dalam video dan foto yang dikongsikan, Ebit Lew dilihat memberi 'ang pow' kepada individu-individu yang difahamkan adalah anak saudaranya.
Malah, para netizen turut menzahirkan rasa gembira dan hiba melihat perkongsiannya itu.
#Ebit Lew #Tahun Baharu Cina #Chinese New Year #COVID-19 #Cina #mualaf #pendakwah #Islam #keluarga #silaturahim