Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan Bahasa Malaysia merupakan bahasa penyatuan rakyat pelbagai kaum di Sabah dan menjadi bahasa lingua franca masyarakat majmuk negeri ini sejak awal kemerdekaan.

Katanya bahasa berkenaan telah menjadi bahasa komunikasi rakyat serta menjadi bertambah kukuh penggunaannya dan peranannya selepas era penjajahan Inggeris.

Salleh berkata usaha memartabatkan Bahasa Malaysia diperkasa secara berterusan melalui pelbagai program termasuk Bulan Bahasa Malaysia.

"Selepas mencapai kemerdekaan, Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman memperkenalkan istilah "Bahasa Malaysia" sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Ia kemudian diguna secara meluas. Pada tahun 1986, istilah "Bahasa Malaysia" diganti menjadi "Bahasa Melayu" berdasarkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

"Kemudian pada 4 Jun 2007, Kabinet Persekutuan membuat keputusan untuk menggantikan penggunaan "Bahasa Melayu" menjadi "Bahasa Malaysia". Berikutan itu, Kabinet mengarahkan penggunaan istilah "Bahasa Malaysia" dalam semua urusan surat-menyurat, catatan dan dokumen," katannya dalam blognya http://sskeruak.blogspot.com/.

Menurut Salleh pada 7 Mac 1972, Dewan Undangan Negeri Sabah memutuskan agar semua urusan rasmi sama ada lisan atau tulisan dengan kementerian, jabatan, pejabat atau agensi kerajaan, dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia.

Kemuncak kepada usaha memartabatkan Bahasa Malaysia di Sabah, kata Salleh, ialah apabila pada 16 Sept 1973, Bahasa Malaysia diisytiharkan sebagai bahasa rasmi oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu iaitu Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Katanya, empat tahun kemudian, iaitu pada 1 Jan 1977, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah diwujudkan, yang menjadi pemangkin kepada pemerkasaan Bahasa Malaysia di Sabah.

"Dari segi dasarnya, Sabah berada di jalan yang betul dalam memartabatkan Bahasa Malaysia tanpa meminggirkan prinsip memperkukuhkan bahasa Inggeris, seperti termaktub dalam dasar kerajaan Malaysia.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengumumkan bahawa Bahasa Inggeris adalah bahasa perantaraan rasmi kerajaan Negeri Sarawak selain Bahasa Malaysia.