[LAPOR LANGSUNG] 9 Aktivis Malaysia Pulang dari Misi Gaza – Ikuti Ketibaan Mereka di KLIA Sekarang!
MALAYSIA

Bahasa Melayu tidak harus sekadar jadi alat komunikasi - Amirudin

Bernama 12/10/2025 | 12:15 MYT
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berucap sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak seharusnya dilihat sekadar alat komunikasi semata-mata, sebaliknya keupayaan menguasainya turut mencerminkan kesetiaan seseorang kepada negara serta kefahaman terhadap nilai dan jati diri tempatan.


Ringkasan AI
  • Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahasa Melayu lambang jati diri dan kesetiaan kepada negara serta perlu diperkukuh sebagai bahasa kebangsaan.
  • Beliau menyokong komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu termasuk di sekolah antarabangsa selaras Akta Bahasa Kebangsaan dan Perlembagaan Persekutuan.
  • Bulan Bahasa Kebangsaan disifatkan penting untuk memupuk cinta bahasa dan perpaduan, selain mengangkat bahasa Melayu melalui ekonomi dan industri kreatif sebagai kuasa lembut negara.


Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan penguasaan bahasa kebangsaan sentiasa menjadi perkara yang diberi keutamaan oleh kerajaan kerana ia memainkan peranan penting dalam menyatukan rakyat serta membentuk jati diri bangsa Malaysia.

"Atas sebab itu, beberapa hari lepas, ketika membentangkan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen beliau supaya penggunaan bahasa Melayu diperkukuhkan.

"Beliau turut menegur kebiasaan sekolah-sekolah antarabangsa di Malaysia yang tidak lagi menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kerana ini sedikit sebanyak mengganggu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang khusus meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Amirudin berkata penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan pada masa ini masih relevan dan wajar diteruskan sebagai wahana untuk menyemai rasa cinta terhadap bahasa serta memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum.

Beliau turut berpendapat bahasa Melayu wajar diperkasa melalui sektor ekonomi dan industri kreatif seperti bidang muzik, filem, sastera dan animasi tempatan bagi menjadikannya sebagai kuasa lembut yang memperkenalkan Malaysia di persada dunia.

Amirudin pada sidang media kemudiannya berkata bagi mendaulatkan bahasa kebangsaan, kerajaan negeri sentiasa mematuhi Akta 32 dalam semua urusan rasmi termasuk berhubung penamaan tempat, jalan dan papan tanda awam.

Sementara itu, Anwar dalam ucapan aluannya berkata bahasa Melayu perlu dijaga sebagai lambang maruah dan jati diri negara, meskipun dunia kini berdepan pengaruh pelbagai bahasa antarabangsa yang membuka pintu kepada diplomasi, sains dan perniagaan.

"Perlu ingat kekuatan sesuatu bangsa bergantung pada keupayaannya mempertahankan bahasanya sendiri tanpa menolak keperluan menguasai bahasa lain, dan pada masa sama mampu berkomunikasi dengan dunia luar," katanya.

-- BERNAMA



#Bahasa Melayu #bahasa kebangsaan #alat komunikasi #Amirudin Shari