Pelbagai pihak di seluruh negara menyifatkan bajet 2015 sebagai belanjawan yang menterjemahkan 'getaran jiwa' suara rakyat menjadi kenyataan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan bajet 2015 antara lain mengumumkan banyak berita gembira kepada pelbagai golongan rakyat termasuk nelayan.

Di KOTA BAHARU, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Negeri Kelantan (Peneka) Ismail Daud berharap pengumuman tambahan RM250 juta untuk Projek Khas Perumahan Nelayan bagi membaik pulih dan membina rumah nelayan, dapat membantu menyelesaikan masalah perumahan nelayan di Kelantan.

"Kira-kira 60 peratus daripada 5,000 nelayan di negeri ini menghadapi masalah kesukaran mendapatkan rumah kediaman kekal berikutan tidak mempunyai tanah," katanya.

Ismail juga berkata pihaknya menyambut baik keprihatinan kerajaan meringankan beban hidup kaum nelayan dimana nelayan Zon A, B dan C akan menikmati kenaikan elaun sara hidup manakala nelayan darat sepenuh masa juga buat julung kalinya akan diberi elaun RM200 sebulan dalam Bajet 2015.

Perdana Menteri pada Jumaat membentangkan Bajet 2015 berjumlah RM273.9 bilion di Dewan Rakyat.

Di PERAK, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pengumuman kenaikan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan langkah kerajaan yang mengambil kira aspek pertambahan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

"Pengumuman ini dapat menyelesaikan masalah golongan berpendapatan rendah, sederhana dan golongan pertengahan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pembentangan Bajet 2015 di kediamannya.

Di SHAH ALAM, Ketua Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar menyifatkan bajet 2015 sebagai menyeluruh bagi meringankan beban rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana di negara ini.

Katanya ia dapat dilihat antaranya melalui penambahbaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pengecualian barangan keperluan harian seperti makanan, ubatan, petrol dan diesel daripada cukai barang dan perkhidmatan (CBP).

Di ALOR SETAR, Penasihat Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Kedah Shahanim Mohd Yusoff berkata banyak bantuan yang diberikan kepada usahawan Bumiputera tetapi dalam masa yang sama usahawan kaum lain tidak diabaikan.

Mengulas mengenai intipati Bajet 2015 bahawa Lembaga Tabung Haji akan memperuntukkan RM200 juta bagi penubuhan Akaun Pelaburan Terhad patuh syariah di Bank Islam dalam usaha memantapkan keusahawanan Bumiputera, Shahanim berkata banyak peluang wajar dimanfaat oleh usahawan.

"Dengan pengumuman bajet hari ini, usahawan Bumiputera mempunyai banyak peruntukan. Sekarang terpulang kepada mereka untuk berusaha mendapatkan peruntukan itu, jika tidak mereka yang rugi," katanya.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata kerajaan negeri Melaka akan turut memberikan bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 pada Januari depan kepada penjawat awam di negeri ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan melihat dan mengkaji struktur gaji 28 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) selaras dengan kenaikan elaun Anggota Parlimen berkuat kuasa 1 Jan tahun depan.

"Bagaimanapun, ini tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita.