[TERKINI] Kebakaran Kecil di Wad Zon Merah HTAR Klang – Tiada Kecederaan, Pesakit Dipindahkan; Laporan Lanjut Di Sini
MALAYSIA

Bajet 2016 bolehkan pembeli rumah kali pertama miliki kediaman - iProperty

Bernama 27/10/2015 | 15:33 MYT
Bajet 2016 menawarkan langkah bagi menampung keperluan perumahan mampu milik dan menambah baik pengangkutan awam.
Bajet 2016 sememangnya memudahkan pembeli rumah kali pertama memiliki kediaman, namun berasaskan kajian oleh iProperty.com Malaysia, responden menilai harga hartanah mampu milik semasa
sebagai sederhana tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan iProperty Group, Georg Chmiel berkata responden menarafkan harga rumah mampu milik semasa di negara ini pada 7.6 dengan 1.0 sebagai paling mampu milik dan 10 langsung tidak mampu dimiliki.

Katanya Bajet 2016 tidak memperkenalkan langkah baharu bagi menangani isu ini namun ia menawarkan langkah bagi menampung keperluan perumahan mampu milik dan menambah baik pengangkutan awam.

"Dengan menjual hartanah pada harga 20 peratus lebih murah menerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), ia pastinya dapat membantu pembeli rumah kali pertama," katanya.

Dalam Bajet 2016, kerajaan mengumumkan pembinaan 5,000 unit rumah di bawah PR1MA dan Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia di 10 lokasi yang berdekatan dengan stesen aliran transit ringan dan monorel termasuk di Pandan Jaya, Sentul dan Titiwangsa.

Chmiel berkata terdapat permintaan yang kukuh terhadap kediaman mampu milik di pusat-pusat bandar utama.

"Ini merupakan lokasi strategik dan pastinya menarik tumpuan pembeli rumah kali pertama untuk mendapatkan rumah di kawasan ini," katanya yang turut berharap kerajaan akan membangunkan lebih banyak rumah mampu milik di kawasan strategik.
#Bajet 2016 #iPropery Group #rumah mampu milik