Bajet 2017 yang akan dibentangkan minggu depan, diharap akan mengukuhkan kedudukan ekonomi negara pada masa depan, kata bekas Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata Malaysia perlu melaksanakan ekonomi yang lebih berinovatif dan melaksanakan dasar transformasi pekerja yang berkemahiran tinggi untuk terus berkembang maju.

"Malaysia perlu fokus untuk meningkatkan ekonomi kerana struktur semasa ekonomi kita tidak boleh bertumbuh dan jika ikutkan ekonomi berasaskan buruh sekarang, kita pasti akan dipintas negara Indonesia dan Vietnam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Anggota Parlimen Negara Asia Mengenai Populasi dan Pembangunan (AFPPD) di sini, hari ini.

Bajet 2017 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada 21 Oktober ini.

Ahmad Husni yang juga presiden AFPPD berkata negara perlu mentransformasikan sektor pengeluaran serta kemahiran tenaga kerja selain membangunkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Mengulas lanjut, Ahmad Husni yang juga anggota Parlimen Tambun berkata beliau akan turut mengambil peluang berbahas mengenai Bajet 2017 pada hari pertama perbahasan dimulakan.

"Saya sebagai bekas menteri saya akan lihat kesemua aspek dan saya akan suarakan melalui perspektif saya," katanya.

Seramai 30 anggota Parlimen daripada 13 negara menghadiri forum dua hari itu yang membincangkan mengenai persediaan menghadapi status negara menua yang dijangka pada 2030. -Bernama