Bajet 2017: Peruntukan pembangunan 18 peratus terlalu kecil - Azmin

Hafiz Marzukhi
Oktober 22, 2016 09:21 MYT
Mohamed Azmin (gambar) berkata nisbah ini jauh daripada bajet yang dibentangkan Kerajaan Selangor pada tahun lepas yang meletakkan peruntukan 47 peratus daripada keseluruhan bajet untuk perbelanjaan pembangunan. -Gambar fail
Peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak 18 peratus tidak akan membantu menyelesaikan masalah rakyat.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata nisbah ini jauh daripada bajet yang dibentangkan Kerajaan Selangor pada tahun lepas yang meletakkan peruntukan 47 peratus daripada keseluruhan bajet untuk perbelanjaan pembangunan.
"Malah, tahun ini, kami cuba untuk mengimbangkan peruntukan bagi kedua-dua perbelanjaan pembangunan dan perbelanjaan mengurus.
"Ini merupakan komitmen kami kepada rakyat Selangor," kata Mohamed Azmin.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat.
Datuk Seri Najib mengumumkan peruntukan berjumlah RM260.8 bilion merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM214.8 bilion, manakala perbelanjaan pembangunan pada RM46 bilion.
Ini tidak termasuk simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion.
#18 peratus #Kerajaan Selangor #Peruntukan perbelanjaan pembangunan