Bajet 2022: Usahawan dan anak muda Johor akan diambil berat - Bastien

Astro Awani
Oktober 24, 2021 08:44 MYT
Bastien (kiri) berkata, Johor mempunyai keunikannya tersendiri kerana kedudukannya bersebelahan dengan Singapura iaitu negara termaju di ASEAN. - foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Johor harus disediakan dengan ekosistem terkini bagi mewujudkan peluang untuk bersaing dan melengkapi ekonomi Singapura.
Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, Johor juga mempunyai keunikannya tersendiri kerana kedudukannya bersebelahan dengan Singapura iaitu negara termaju di ASEAN.
"Ruang, peluang dan cabaran ekonominya berbeza dengan negeri-negeri lain. Johor terbentang luas dengan tanahnya berbanding Singapura.
"Peluang ini harus digunakan untuk mewujudkan kerjasama dengan syarikat-syarikat daripada Singapura bagi mengembangkan perniagaan mereka.
"Limpahan ekonomi sudah pasti akan wujud apabila peluang itu dapat digarap dengan baik," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
BACA: Bajet 2022: Kerajaan sasar tingkatkan amalan digitalisasi dalam kalangan PKS - Tengku Zafrul
BACA: Bajet 2022 boleh jadi faktor penentu keyakinan pelabur terhadap prestasi ringgit
Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah mengadakan sesi libat urus belanjawan dengan anak-anak muda daripada negeri Johor.
Perjumpaan itu turut dihadiri Ketua Pemuda UMNO Johor, Hairi Md. Shah
Sesi itu melibatkan hampir 50 anak muda daripada pelbagai bidang yang telah memperdengarkan hasrat dan menyampaikan permasalahan yang dihadapi mereka.
Johor merupakan sesi negeri terakhir sebelum Kementerian Kewangan muktamadkan Bajet 2021 selepas 40 sesi libat urus dilakukan kementerian itu dengan pelbagai pihak.
Dalam pada itu kata Bastien, Johor merupakan negeri termaju selepas Lembah Klang dan Penang.
"Impak daripada pandemik menjadi topik utama untuk Kementerian Kewangan tangani melalui Bajet 2022 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
"Mereka yang hadir juga telah dimaklumkan bahawa Rabu ini merupakan hari akhir untuk dimuktamadkan kandungan bajet sebelum dibentangkan di Parlimen.
"Pendekatan Kementerian Kewangan untuk melakukan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh merupakan satu pendekatan baik bagi memastikan tiada pihak yang akan tertinggal bagi mendepani cabaran ekonomi dan kehidupan pasca pandemik," ujarnya.
Jelas bastien lagi, perjumpaan berkenaan juga menggariskan soal mewujudkan keseimbangan antara kehendak dan keperluan, permasalahan anak-anak muda mendepani pasca pandemik dan memulakan budaya menyelia berbanding membina kemudahan infra baharu.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Bajet 2022 akan berfokuskan kepada 3M iaitu memulih kehidupan (recovery); membina semula daya tahan (resilience) dan memangkin pembaharuan (reform).
Beliau berkata, seperti pembentangan bajet yang lalu, kerajaan akan terus komited membantu rakyat yang masih terjejas serta menyokong kelangsungan perniagaan dalam Bajet 2022 kali ini.
#ASEAN #PKS #Kementerian Kewangan #Pemuda UMNO #ringgit #bajet 2022 #pandemik #usahawan