PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan Bajet 2023 berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat segenap lapisan masyarakat dengan mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi tahun hadapan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, antara tumpuan utama dalam Bajet 2023 adalah untuk memastikan pemulihan pasca COVID-19 yang turut mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

"Dalam menghadapi ketidaktentuan global, Bajet 2023 turut memberi tumpuan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan dengan menambah baik sistem perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti," katanya.

Berucap pada majlis penutupan Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan turut memberi tumpuan kepada persekitaran hidup yang selamat dan selesa dengan menitikberatkan pembangunan yang inklusif dan mampan.

"Ia bertujuan agar semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati manfaat pembangunan negara pada masa kini dan hadapan tanpa mengira komuniti atau tempat tinggal," katanya.

Ismail Sabri berkata, isu dan cabaran yang dibangkitkan dalam Konsultasi Bajet 2023 itu, yang difahamkan lebih daripada 3,000 isu dan 2,000 cadangan telah diterima, serta kaedah penyelesaian yang dicadangkan untuk menanganinya akan diperhalusi dan diteliti sewajarnya.

Cadangan itu termasuklah mengenai percukaian, pemberian subsidi dan perlindungan sosial, kelangsungan perniagaan dan kemampanan industri termasuk mengurang kos menjalankan perniagaan, dan meningkatkan pembangunan sumber manusia dan tenaga mahir, produktiviti, teknologi dan digitalisasi dalam perniagaan.

Beliau berkata, terdapat juga cadangan untuk memperkukuh kerjasama pelbagai pihak untuk mempercepat pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030 di peringkat nasional.

Ismail Sabri berkata, ekonomi negara menunjukkan pemulihan kukuh pada separuh pertama 2022 yang berkembang sebanyak 6.9 peratus ekoran langkah kerajaan melaksanakan fasa peralihan ke endemik, pembukaan sepenuhnya ekonomi dan sempadan serta didokong dasar fiskal mengembang melalui Bajet 2022.

Beliau berkeyakinan momentum pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 akan berterusan sehingga penghujung tahun ini dengan itu, unjuran pertumbuhan 2022 antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus dapat dicapai.

"Berdasarkan indikator ekonomi terkini, insya-Allah, dijangka pertumbuhan 2022 dapat mencecah ke tahap tertinggi dalam julat unjuran tersebut," katanya.

Beliau berkata, momentum pemulihan ekonomi bukan sekadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi juga pemulihan pasaran tenaga kerja.

Ia jelas dicapai berdasarkan kepada penurunan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus yang tertinggi pada Mei 2020 kepada 3.8 peratus pada Jun 2022, antaranya hasil daripada inisiatif JaminKerja dengan peruntukan melebihi RM4 bilion dalam Bajet 2022, katanya.

"Keyakinan kepada ekonomi negara juga jelas dalam kalangan pelabur antarabangsa," katanya. Pada separuh pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran masuk bersih lebih tinggi iaitu RM41.7 bilion berbanding sebelum pandemik iaitu RM23.3 bilion pada tempoh yang sama 2019.

Meskipun pertumbuhan ekonomi negara untuk 2022 berada pada trajektori pemulihan yang memberangsangkan, namun Ismail Sabri mengingatkan bahawa Malaysia masih lagi berdepan dengan prospek ekonomi global yang semakin mencabar untuk 2023.

Ia berikutan konflik Rusia-Ukraine yang berterusan, gangguan rantaian bekalan makanan global serta tindakan bank-bank pusat dunia yang memperketatkan dasar monetari, katanya.

"Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, kita tidak terkecuali daripada perkembangan global. Gangguan rantaian bekalan dunia telah meningkatkan harga komoditi dan makanan dengan mendadak," katanya.

Berkongsi kadar inflasi di negara lain, menurutnya pada Jun 2022, kadar inflasi di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom melebihi sembilan peratus, manakala negara serantau seperti Thailand, Singapura dan Filipina pula melebihi enam peratus.

Ismail Sabri berkata, demi kesejahteraan rakyat, kerajaan telah melaksanakan langkah mengawal harga barangan serta menambah baik bantuan dan subsidi barangan asas, dan hasil daripada tindakan kerajaan, kadar inflasi untuk separuh tahun pertama 2022 kekal pada tahap terkawal 2.5 peratus.

Tindakan kerajaan itu telah meningkatkan perbelanjaan bantuan dan subsidi kepada RM77.7 bilion berbanding peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion.

"Tanpa bantuan dan subsidi kerajaan, dianggarkan kadar inflasi negara akan mencecah sebanyak 11.4 peratus," katanya. - BERNAMA