KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan lima peratus daripada keseluruhan diperuntukkan dalam Bajet 2023 bagi meningkatkan sistem kesihatan awam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini, keseluruhan peruntukan untuk sistem kesihatan dalam negara adalah 4.3 atau 4.4 peratus bagi sektor awam.

Menurutnya, penambahan peruntukan itu membolehkan pihaknya memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf klinik-klinik usang yang berada di pedalaman.

"Contoh kalau kita dapat RM 20 billion, kita akan memberi tumpuan pada klinik-klinik usang di kawasan pedalaman untuk di naik taraf.

"Kita juga akan menempatkan pakar-pakar perubatan keluarga di klinik tersebut berserta dengan ubat-ubatan yang sebelumnya hanya ada di hospital kini boleh juga diguna pakai di klinik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meramsikan Majlis Persidangan Saintifik Pakar Perubatan Kali ke-24 Peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu pada Kahmis.

Tambah beliau, bajet kesihatan tertinggi pernah direkodkan di luar negara, hampir mencecah 19 hingga 20 peratus, iaitu di Amerika Syarikat.

Maka itu, beliau berkata jika bajet ini dapat ditingkatkan, pihak KKM juga akan dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti.

Selain itu, kira-kira 8,000 pakar perubatan keluarga diperlukan di klinik-klinik KKM dalam usaha untuk memberi rawatan dan perkhidmatan terbaik kepada komuniti khususnya di kawasan luar bandar.

Noor Hisham berkata bagi mencapai sasaran itu, KKM kini sedang meningkatkan kapasiti pakar perubatan keluarga menerusi program sarjana perubatan keluarga di universiti tempatan dan Program Latihan Kepakaran Parallel Pathway dengan kerjasama kolej luar negara.

Beliau berkata menerusi program latihan tersebut, setiap tahun dianggarkan antara 100 hingga 120 graduan pakar perubatan keluarga akan dihasilkan, manakala kira-kira 100 orang pakar dihasilkan menerusi program sarjana di universiti tempatan.