KUALA LUMPUR: Gesaan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebelum ini akhirnya mendapat tindakan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan melalui Bajet 2023 menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.

Peningkatan peruntukan pembangunan kepada Sabah dan Sarawak sebanyak RM6.3 bilion dan RM5.4 bilion selain RM1.5 bilion dan RM2.55 bilion bagi pembangunan luar bandar disifatkan Ongkili sebagai pertimbangan yang baik, prorakyat, dan berasaskan pemulihan dengan mengambil kira cabaran negara meningkatkan hasil pasca COVID-19.

"Untuk Sabah dan Sarawak, keperluan dan fokus pembangunan yang diketengahkan oleh MKMA63 telah diambil tindakan dan diberi peruntukan termasuk penyediaan peruntukan pembangunan untuk kemiskinan dan golongan B40.

“Lebih penting dana untuk infrastruktur asas telah dikekalkan, dan dalam beberapa aspek telah ditingkatkan terutamanya untuk jalan luar bandar, air dan elektrik, dan infrastruktur digital.

“Majlis Khas Perjanjian MA63 menekankan keperluan penambahan peruntukan bagi kemudahan perubatan dan pendidikan, terutamanya dalam menangani masalah sekolah dan klinik desa daif yang mana turut diketengahkan dalam pembentangan bajet kali ini,” kata Ongkili.

Menyentuh soal keselamatan, Ongkili berkata perhatian kewangan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap pembinaan pusat Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sepanjang daerah sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan meredakan kebimbangan terhadap keselamatan sempadan negara.

Beliau turut menambah tumpuan bajet yang diarahkan kepada pemulihan ekonomi pada kali ini merupakan langkah yang tepat selain berkata dorongan tambahan terhadap usaha menghidupkan semula sektor pembuatan dan pelancongan tepat pada masanya dan amat diperlukan.

Walau bagaimanapun, Ongkili berkata masih terdapat ruang penambahbaikan di sebalik penambahan peruntukan yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira permintaan sebenar daripada kedua negeri itu, selain memuji keterbukaan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam Bajet 2023.

Beliau turut menegaskan bahawa Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus digunakan sebagai platform untuk mendesak keperluan pembangunan asas Sabah dan Sarawak.

"Walaupun terdapat pertambahan peruntukan, ia masih belum mencapai tahap yang memuaskan berdasarkan permintaan daripada Sabah dan Sarawak.

"Kita masih mempunyai perjalanan yang jauh. dalam memenuhi keperluan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Kami bersyukur dengan peningkatan keterbukaan Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peruntukan yang lebih baik terutamanya untuk pembangunan luar bandar.

"Tetapi kami akan terus menggunakan Majlis Khas Perjanjian Malaysia (1963) sebagai platform untuk menekan dan mendesak keperluan pembangunan asas bagi kedua-dua negeri," tambah beliau.