KUALA LUMPUR: Bakal jemaah haji perlu memuat turun aplikasi Saudi Visa Bio di telefon pintar masing-masing bagi tujuan permohonan visa haji pada tahun ini susulan penguatkuasaannya oleh kerajaan Arab Saudi.

Pengarah Eksekutif Haji, Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata aplikasi berkenaan boleh dimuat turun menerusi Google Play store atau Apple app store.

Beliau berkata aplikasi itu merupakan inovasi baharu diperkenalkan kerajaan Arab Saudi pada musim haji tahun ini, bertujuan memudahkan permohonan visa selain memendekkan tempoh prosedur kemasukan bakal haji ke tanah suci melalui Jeddah dan Madinah.

Permohonan visa melalui aplikasi itu merangkumi empat proses mudah iaitu melengkapkan alamat e-mel; memuat naik imbasan muka surat butiran peribadi dalam pasport Malaysia, imbasan muka dan imbasan 10 jari (biometrik).

"Bakal haji akan menerima e-mel pengesahan pendaftaran daripada Kementerian Luar Arab Saudi apabila maklumat peribadi telah berjaya dimuat naik ke dalam aplikasi tersebut melalui e-mel yang didaftarkan.

"Bakal haji juga diingatkan untuk terus menyerahkan pasport mereka kepada Tabung Haji (TH) setelah mendapat pengesahan ini bagi TH memproses visa haji bakal haji berkenaan," katanya.

Syed Saleh berkata Malaysia merupakan antara lapan negara terawal di dunia selain Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Kuwait, United Kingdom, Tunisia dan Morocco yang dipilih untuk projek perintis itu, mengambil kira reputasi Malaysia sebagai antara pengendali haji terbaik dunia yang telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan kemudahan daripada kerajaan Arab Saudi.

Maklumat lanjut mengenai penggunaan aplikasi Saudi Visa Bio boleh diperoleh menerusi laman web rasmi www.tabunghaji.gov.my atau media sosial rasmi TH selain menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919 untuk perkhidmatan TH yang lain.

-- BERNAMA