Bakar kenderaan terlibat kemalangan, dua abang mangsa antara ditahan polis

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 22, 2020 00:58 MYT
Kenderaan wanita yang dipercayai dibakar oleh suspek kerana menyangkakan pemandunya memandu dalam keadaan mabuk dan terlibat kemalangan. - Foto PDRM
Susulan kes membakar kenderaan milik seorang wanita yang terlibat dalam kemalangan kerana disangka memandu di bawah pengaruh alkohol, tiga individu ditahan polis semalam.
Dua daripadanya merupakan abang kepada mangsa yang cedera dalam kemalangan yang berlaku pada Khamis malam itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek yang berusia 19 dan 29 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar Tasek Gelugor.
Mereka disiasat atas dakwaan cuba bertindak agresif dan turut memberi komen negatif di laman sosial Facebook pada hari kejadian.
Mereka juga telah enggan bekerjasama dengan tidak memberi maklumat berkaitan perlakuan membakar kenderaan tersebut.
Sementara itu, Noorzainy berkata, polis turut menahan seorang lelaki yang memuat naik maklumat dan video berkaitan kejadian berkenaan di laman Facebook miliknya.
Suspek ketiga berusia 33 tahun itu ditahan di Padang Menora di sini.
Polis turut merampas telefon bimbit miliknya yang dipercayai digunakan untuk memuat naik maklumat berkenaan kejadian.
Katanya, suspek mengaku memuat naik maklumat di Facebook tanpa memeriksa dan menanti sebarang fakta yang jelas dari pihak berkuasa.
Ketiga-tiga mereka akan dibawah ke Mahkamah Sesyen Butterworth pagi ini untuk direman.
BACA: Gara-gara disangka mabuk, kereta wanita dibakar - Polis
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Jumaat (19 Jun) lalu, kereta milik seorang wanita berusia 56 tahun dibakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua buah motosikal di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor.
Perbuatan dilakukan kerana menyangka pemandu berkenaan mabuk ketika memandu.
Bagaimanapun, pihak polis menafikan wanita itu berada di bawah pengaruh alkohol selepas melakukan saringan terhadapnya
#abang mangsa #agresif #alkohol #bakar kenderaan #Butterworth #disangka mabuk #Facebook #kemalangan #komen negatif #mahkamah #Noorzainy Mohd Noor #Padang Menora #polis #rampas telefon bimbit #reman #suspek #tasek gelugor #video