Kemunculan bakat baharu dan kreatif dalam industri batik melayakkan mereka mencipta nama dalam dunia fesyen, kata Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang) Nori Abdullah.

"Adalah menjadi harapan kami di Penyayang untuk melihat industri batik berintegrasi dengan industri fesyen, dan menampilkan gaya baharu dalam rekaan dan penjenamaan.

"Pada masa lalu, kita telah melihat beberapa pereka fesyen batik Malaysia yang telah melakar kejayaan apabila mencipta jenama mereka sendiri," katanya di sini hari ini.

Lima finalis Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon (PSE) 2016 telah diumumkan hari ini, dan mereka akan menyertai Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2017, "Kuala Lumpur Fashion Week Ready To Wear (KLFW RTW)".

Mereka adalah Mohd Faizul Noorizan, Muhammad Ridzuan Alias, Mohd Hafiz Drahman, Syahmiza Razali dan Yus Faizal Abdul Rahim, kata pengasas KLFW RTW, Andrew Tan, pada sidang media di sini.

Nori dalam ucapannya berkata ini adalah tahun kedua Penyayang, sebuah yayasan yang membantu rakyat Malaysia yang memerlukan dalam bidang pendidikan, kebajikan, penyelidikan, kesihatan dan tujuan kebajikan lain, bekerjasama dengan KLFW RTW untuk segman khas batik yang akan diadakan pada Ogos 2017.

Beliau berkata peserta akhir akan menempuh perjalanan yang menarik penuh dengan peluang, kerana pertunjukan fesyen itu akan menjadi platform penting bagi bakat-bakat muda yang mengimpikan spektrum pelanggan yang lebih luas, yang boleh mempengaruhi dunia fesyen.

Bagi pereka, Muhammad Ridzuan Alias, 25, ia adalah satu penghormatan bagi beliau terpilih seorang daripada finalis memandangkan beliau masih baru dalam industri fesyen.

"Walaupun saya menamatkan pengajian dalam bidang fesyen, tidak pernah saya terfikir mendapat pengiktirafan seperti ini.

"Saya amat bersyukur atas anugerah berprestij ini dan saya berjanji untuk bekerja lebih keras mempromosikan lukisan batik dalam kalangan generasi muda," katanya kepada Bernama.

Ridzuan berkata beliau akan merebut peluang itu untuk mengetengahkan lebih banyak rekaannya, 'Pengembara Jiwa' - tema ciptaannya sempena pertunjukan fesyen itu tahun depan.

-- BERNAMA