MALAYSIA

Balai Seni Negara anjur pameran Spatial Creative - Ceramic Zone

Bernama 05/12/2025 | 22:30 MYT
Sebagai pameran sokongan sempena program Residensi SCCZ, Pameran Asal Tanah di Galeri 2B turut dibuka kepada orang ramai mulai 5 Dis hingga 30 April, mempamerkan kira-kira 83 karya seniman dan Koleksi Balai Seni Negara. - Foto Balai Seni Negara
KUALA LUMPUR: Orang ramai dijemput menyaksikan keunikan karya seramik yang dipamerkan secara eksklusif menerusi Pameran Spatial Creative - Ceramic Zone (SCCZ) yang berlangsung di Aras 1, Balai Seni Negara sejak 28 Nov lalu hingga 30 April depan.


Ringkasan AI
  • Pameran Spatial Creative - Ceramic Zone (SCCZ) di Balai Seni Negara mempersembahkan 39 karya seramik artistik, pottery, tableware, dan arca hasil program Residensi SCCZ dari 22 Okt hingga 30 Okt lalu.
  • Program residensi ini memberi platform kepada seniman untuk berkarya di studio profesional dengan bimbingan artis dan pakar seramik berpengalaman, memperluas jaringan dan kolaborasi antara seniman seramik tempatan.
  • Pameran Asal Tanah di Galeri 2B turut dibuka kepada orang ramai selama hampir lima bulan hingga 30 April depan, mempamerkan 83 karya seniman jemputan dan koleksi Balai Seni Negara dalam sokongan kepada program Residensi SCCZ.


Balai Seni Negara dalam kenyataan semalam memaklumkan sebanyak 39 karya seramik merangkumi seni seramik artistik, pottery, tableware dan arca yang menonjolkan kepelbagaian teknik dan pendekatan kreatif para seniman, dengan semua karya merupakan hasil program Residensi SCCZ yang telah dilaksanakan dari 22 hingga 30 Okt lepas.

Menurut Balai Seni Negara, program Residensi SCCZ dirangka sebagai platform intensif yang memberi peluang kepada para seniman untuk berkarya secara langsung di studio profesional, di bawah bimbingan artis dan pakar seramik berpengalaman.

"Melalui pendekatan praktikal dan dialog kritikal, para seniman telah menghasilkan karya baharu sambil memperkukuh pemahaman mereka tentang hubungan antara bentuk, fungsi dan ruang dalam rekaan seramik.

"Selain meningkatkan kemahiran teknikal, program ini turut memperluas jaringan antara seniman pelbagai generasi serta komuniti seramik tempatan, sekali gus membuka ruang kepada kolaborasi dan pertukaran idea secara berterusan," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu program Residensi SCCZ diadakan di tiga lokasi utama pembuatan seramik, iaitu BK Art Studio di Kuala Kangsar, Perak; Ilham Ceramic Studio di Langkawi, Kedah dan Sari Chempaka Art Village di Karak, Pahang, hasil kerjasama strategik antara Balai Seni Negara dan studio-studio seramik tempatan.

"Ia menghimpunkan 10 seniman seni visual daripada pelbagai latar belakang untuk meneroka potensi seni seramik kontemporari di Malaysia iaitu Amy Nazira, Sabri Idrus, Saiful Razman, S. Amin Shahab, Bone Alfie, Shafiq Nordin, Amer01, Khairul Izzuddin, Kenji Chai dan Tan Kai Sheuan," menurut kenyataan itu.

Balai Seni Negara berharap inisiatif berkenaan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekosistem seni seramik di Malaysia sekali gus mengangkat bidang itu sebagai cabang penting dalam landskap seni kontemporari negara.

Sebagai pameran sokongan bersempena dengan program Residensi SCCZ, Pameran Asal Tanah di Galeri 2B di sini turut dibuka kepada orang ramai mulai semalam (5 Dis) hingga 30 April depan, mempamerkan kira-kira 83 karya seniman jemputan dan Koleksi Balai Seni Negara.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui media sosial rasmi Balai Seni Negara atau www.artgallery.gov.my.

-- BERNAMA




#Balai Seni Negara #karya seramik #Pameran SCCZ #Pameran Asal Tanah #Residensi SCCZ