IPOH: Isteri kepada juruterbang yang maut dalam insiden helikopter terhempas di Hutan Simpan Chikus, Bidor, Ahad minggu lalu, tiba untuk menuntut mayat mendiang suaminya di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), hari ini.

Wanita berkenaan tiba di pekarangan Jabatan Forensik kira-kira jam 10.40 pagi.

Turut sama tiba ialah beberapa orang saudara mereka dengan menaiki dua buah kenderaan jenis Alphard berwarna maroon dan Honda berwarna hitam.

Isteri mendiang dan keluarga kemudian dilihat meninggalkan Jabatan Forensik kira-kira jam 11.25 pagi.

Ketika ditemui wartawan, wanita yang hanya dikenali sebagai Leung itu berkata, segala urusan pembakaran mayat suaminya akan dilakukan di Ipoh dan abunya akan dibawa pulang ke Hong Kong.

Pada 11 September lalu, media melaporkan sebuah helikopter jenis Eurocopter dan juruterbangnya dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada jam 12.16 tengah hari.

Helikopter milik syarikat swasta yang terbang dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang pada jam 11.37 pagi dengan seorang juruterbang dalam pesawat itu.

Helikopter berkenaan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada jam 12.37 tengah hari, tetapi dilaporkan hilang dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada jam 12.16 tengah hari.

Juruterbang Tsz Kin Richard Chan, 58, warganegara Hong Kong itu ditemui pada keesokan harinya dalam kokpit helikopter.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum dibawa ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat.