Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Banci Ekonomi 2026 libatkan 1.2 juta pertubuhan di seluruh negara

Amzar Alif 19/11/2025 | 03:40 MYT
Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 (BE2026) bersama pihak berkepentingan dan persatuan perniagaan peringkat Wilayah Persekutuan, anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia Wilayah Persekutuan. - Gambar DOSM
KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang memperkemas persediaan bagi pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 (BE2026), yang bakal menilai kedudukan lebih 1.2 juta pertubuhan perniagaan di seluruh negara, termasuk sekitar 180,000 pertubuhan di Wilayah Persekutuan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, banci yang dijalankan setiap lima tahun itu penting bagi mendapatkan gambaran tepat struktur ekonomi negara, termasuk perubahan industri, penggunaan teknologi dan profil tenaga buruh.

Menurutnya, BE2026 akan merangkumi pertubuhan perniagaan serta organisasi bukan berasaskan keuntungan merentasi lima sektor utama, meliputi 17 seksyen dan 1,216 industri, berdasarkan Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC) 2025, yang turut menambah baik kategori industri digital dan perkhidmatan moden.

“Dalam pelaksanaan banci ekonomi seluruh negara, kita ada lebih kurang 1.2 juta pertubuhan perniagaan. Untuk Wilayah Persekutuan sahaja, sebanyak 180 ribu pertubuhan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan terlibat,” katanya selepas sesi libat urus bersama lebih 200 peserta daripada agensi kerajaan dan persatuan industri.

Mohd Uzir Mahidin ketika memberi pembentangan dalam sesi libat urus bersama pihak berkepentingan yang berlangsung di ibu negara pada Selasa. - Gambar DOSM


Bagi Wilayah Persekutuan, pecahan pertubuhan perniagaan dianggarkan melibatkan 58.7 peratus perusahaan mikro, 35.0 peratus perusahaan kecil, 1.6 peratus sederhana dan 4.7 peratus perusahaan besar.

Kuala Lumpur kekal sebagai penyumbang kedua tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia selepas Selangor pada 2024, dengan sumbangan 16.1 peratus atau RM265.8 bilion, meningkat 6.2 peratus.

“Sektor perkhidmatan yang mengungguli ekonomi Kuala Lumpur berkembang 5.5 peratus, melebihi pertumbuhan nasional sebanyak 5.3 peratus.

"Sektor pembinaan meningkat 21.1 peratus, manakala pembuatan naik 4.3 peratus,” jelasnya.

Tambahnya, data BE2026 bukan sahaja menggambarkan saiz dan struktur ekonomi, tetapi juga akan digunakan untuk mengenal pasti keperluan intervensi sektor, tahap penggunaan teknologi serta produktiviti tenaga buruh.

Banci itu turut menjadi asas penting kepada penyediaan dasar nasional termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Banci ekonomi membolehkan kita melihat sama ada usaha meningkatkan pendapatan pekerja yang kini sekitar 36 peratus daripada pendapatan ekonomi boleh dipertingkatkan kepada lebih 40 peratus seperti disasarkan.

Selari dengan pendigitalan perkhidmatan awam, maklumat banci boleh dikemukakan melalui platform e-BE, selain borang pos dan temu duga bersemuka bagi perniagaan yang memerlukan bimbingan pengisian.

“Ini yang kita nak sampaikan, semua pertubuhan perniagaan ini perlu memberikan kerjasama.

“Pengoperasian banci ekonomi ini akan berlangsung mulai Februari tahun depan sehinggalah kepada Oktober 2026 dan dijangkakan makluman awalan banci ekonomi ini dapat digunakan oleh semua stakeholder seawal tahun 2027,” ujarnya.




#Banci Ekonomi 2026 #DoSM #Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin