MALAYSIA

Banduan larikan diri ditangkap semula di Kluang

Bernama 04/12/2025 | 00:50 MYT
Polis berjaya menahan seorang banduan yang melarikan diri daripada tahanan dalam tempoh kurang satu jam selepas dia dilaporkan hilang petang semalam. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Polis berjaya menahan seorang banduan yang melarikan diri daripada tahanan dalam tempoh kurang satu jam selepas dia dilaporkan hilang petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 4.25 petang daripada seorang pegawai Penjara Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Jalan Mersing, Kluang

"Sebaik menerima maklumat, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bersama Jabatan Penjara Daerah Kluang segera melancarkan operasi mengesan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada 5.30 petang, pasukan Jabatan Penjara berjaya menahan semula banduan lelaki tempatan berusia 26 tahun itu di kawasan berhampiran reban ayam di Kampung Sri Timur, dekat Kluang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, serta Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Terdahulu, tular di media sosial melalui laman Facebook 'This is Johor' gambar seorang individu dipercayai banduan berkenaan yang didakwa melarikan diri dari penjara dan 'dikawal' tiga individu di sebuah kawasan dipercayai ladang kelapa sawit di sekitar Kluang.

-- BERNAMA



#banduan lari #banduan ditangkap semula #Penjara Pusat Reintegrasi Penghuni #Jabatan Penjara