Bangun sistem khas kawal bekalan diesel, petrol - PPIM

Sinar Harian
Februari 24, 2024 00:20 MYT
Nadzim mengharapkan kesungguhan pihak berkuasa bagi memastikan masalah ketirisan berkaitan diesel dan petrol bersubsidi tidak berterusan dan memberi kesan buruk kepada rakyat. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan perlu membangunkan sistem khusus bagi memastikan bekalan diesel mahupun petrol bersubsidi di negara ini tidak dimanipulasi pihak tertentu yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat asing.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, undang-undang sedia ada sudah memadai sekiranya kaedah penguatkuasaan dan kawalannya dilaksanakan dengan teliti serta efisien.
Menurutnya, kerana itu perlunya sistem khas agar bekalan bahan api tersebut tidak diambil sewenang- wenangya serta dapat dikawal daripada segi jumlah yang lebih munasabah.
“Tak perlu lihat kes seludup diesel semata-mata, tapi lihat bagaimana petrol bersubsidi juga digunakan pemilik kereta asing daripada Singapura dan Thailand.
“Ini juga merupakan bentuk ketirisan yang berlaku. Perkara ini telah disuarakan sejak sekian lama dan kita mahu kerajaan ambil tindakan lebih tegas terhadap situasi ini,” katanya pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Nazdim berkata, perkembangan itu amat mengecewakan ketika rakyat berdepan cabaran kos sara hidup ketika ini.
Justeru, beliau mengharapkan kesungguhan pihak berkuasa bagi memastikan ia tidak berterusan dan memberi kesan buruk kepada rakyat.
“Tidak pasti adakah wujud pakatan (kegiatan seludup diesel). Masalah apabila ada kartel yang menguasai. Kita seperti dipergunakan,” katanya. - Sinar Harian
#PPIM #Nadzim Johan #undang-undang #kawal bekalan diesel dan petrol