KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya sentiasa memantau bangunan milik kerajaan yang berisiko berlaku runtuhan susulan kejadian tanah runtuh berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) bulan lepas.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata setakat ini tiada angka spesifik bagi bangunan yang mempunyai masalah.

"Kita memantau beberapa bangunan kerajaan bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang berulang kerana tidak semua mempunyai masalah yang sama," katanya ketika ditemui pada majlis Interaksi Warga Kerja Raya dan Sambutan Aidilfitri Bersama Menteri Kerja Raya di sini hari ini.

Dalam pada itu Nanta turut memaklumkan setakat ini tiada pergerakan tanah yang dikesan selepas pihaknya memasang alat pengesan pergerakan tanah di lokasi kejadian tanah runtuh berhampiran MACA dan IIM itu pada 26 April lepas.

"Semua kerja penting untuk sementara waktu ini telah dibuat di lokasi dan laluan kawasan berkenaan. Kebocoran pada sistem perpaipan bekalan air di kawasan terlibat juga sudah dibaik pulih," katanya.

Pada 25 April lepas, dilaporkan seramai 76 petugas pentadbiran MACA dan IIM di sini berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan itu kira-kira 1.30 tengah hari.

-- BERNAMA