Skip to main content

Malaysia

Bangunan KLSCAH perlu dipulihara, iktiraf bangunan warisan negara - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 17 Feb -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mahu usaha pemuliharaan bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di Jalan Maharajalela di sini yang mencecah usia 100 tahun, dilaksanakan.

Beliau berkata langkah itu bagi memudah cara keperluan memenuhi sebarang syarat untuk bangunan berkenaan diiktiraf sebagai bangunan bersejarah dan warisan negara.

Advertisement

Sehubungan dengan itu, beliau meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menyelaraskan usaha pemuliharaan bangunan KLSCAH dan bekerjasama dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud bagi memudah cara keperluan berkenaan.

Perdana Menteri turut mengarahkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing bersama semua jawatankuasa berkaitan untuk duduk semeja bagi membincangkan dan merealisasikan usaha pengiktirafan berkenaan.

“Bangunan ini mencecah 100 tahun, mempunyai keperluan untuk mendapat pengiktirafan kerajaan, jadi Hannah dan Datuk Bandar akan selesaikan sebelum bawa kepada saya. Jangan risau soal status tanah. Kita masyarakat yang prihatin, dan kita mahu pulihara warisan ini.

"Kita anggap bangunan ini sebagai bangunan bersejarah, warisan, justeru kita beri pertimbangan khas. Maka, jawatankuasa itu perlu bekerjasama supaya bangunan ini boleh dipulihara," kata beliau ketika berucap pada Sambutan Hari Tahun Baharu Cina di KLSCAH di sini, hari ini.

Menurut laman web Jabatan Warisan Negara, bangunan KLSCAH mula dibina pada 1910 sebelum siap sepenuhnya pada 1923, dengan antara tujuan utama pembinaannya ialah sebagai pusat kebajikan kaum Cina di Malaysia, terutama sekali dalam sektor ekonomi dan budaya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video