KOTA BELUD: Semua daerah di Sabah perlu membangunkan produk dan pengalaman pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri sebagai persediaan rapi menghadapi Tahun Melawat Sabah 2027, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata setiap daerah memiliki keunikan dan kekuatan tersendiri yang boleh diketengah sebagai tarikan utama termasuk Kota Belud yang kaya dengan khazanah budaya, tradisi serta keindahan alam semula jadi.
“Dengan pendekatan ini, manfaat sektor pelancongan tidak hanya tertumpu kepada industri dan pengusaha besar tetapi turut sampai kepada pengusaha inap desa, petani, penternak, peniaga kecil, pengusaha makanan, penggiat kraf tangan serta masyarakat setempat,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Tamu Besar Kota Belud 2026 yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan turut dihadiri isteri beliau, Toh Puan Faridah Tussin.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapha Sakmud, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan serta Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri Datuk Fairuz Renddan.
Berusia 148 tahun, Tamu Besar Kota Belud adalah acara tahunan penting dalam kalendar pelancongan anjuran Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang menyediakan platform kepada peniaga tempatan memperkenal serta memasarkan produk mereka.
Hajiji berkata Tamu Besar Kota Belud juga bukan sekadar tempat berjual beli barangan sebaliknya menjadi medan pertemuan sosial bagi mengeratkan perpaduan masyarakat berbilang etnik termasuk Bajau-Samah, Kadazandusun, Murut, Iranun dan Cina yang wajar dipelihara serta disesuaikan mengikut peredaran zaman.
Beliau berkata kelebihan Kota Belud, yang diiktiraf sebagai sebahagian daripada Kinabalu UNESCO Global Geopark sejak Mei 2023, membuktikan potensi besar daerah itu dalam menawarkan pelbagai aktiviti menarik merangkumi pengembaraan, rekreasi, budaya serta keindahan pulau dan sungai.
“Melalui semangat perpaduan yang utuh di tamu ini, kita membuktikan bahawa kepelbagaian kaum dan agama di Sabah adalah kekuatan terbesar kita untuk terus melangkah maju bersama-sama menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.
Menyentuh pembangunan prasarana, Hajiji berkata kerajaan negeri terus memperkukuh kemudahan asas di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dan Pelan Pembangunan SMJ 2.0 termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo laluan Kota Belud-Wariu yang kini hampir siap.
“Kita mahu projek-projek pembangunan seperti ini memberi manfaat yang nyata kepada rakyat sama ada dalam bentuk jaringan perhubungan yang lebih baik, kemudahan digital yang menyokong kegiatan ekonomi mahupun peluang baharu kepada masyarakat untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.
Pembangunan infrastruktur itu turut disokong dengan penyediaan kemudahan Pusat Ekonomi Digital di Wisma Majlis Daerah bagi memacu aktiviti perniagaan tempatan dan memperkasakan kekuatan daerah dalam sektor pertanian terutamanya tanaman padi.
Beliau berkata keupayaan usahawan tempatan terbukti berdaya saing apabila sebanyak 1,800 daripada kira-kira 12,000 usahawan yang menerima pelbagai bentuk bantuan dan geran industri kecil dan sederhana di Sabah berasal dari Kota Belud.
Hajiji juga berkata kerajaan negeri komited untuk terus menyokong sektor ekonomi warisan berkenaan melalui penerapan teknologi moden, pendekatan baharu, nilai tambah dan pembukaan akses pasaran yang lebih luas demi kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA