KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir di Selangor dan Perak setakat 8 malam tadi.

Di Selangor, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 547 orang daripada 144 keluarga malam ini, berbanding 579 orang daripada 157 keluarga pagi tadi.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa ditempatkan di enam PPS di Sepang dan Hulu Langat.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi dan SK Semenyih di Hulu Langat menempatkan 87 mangsa manakala empat lagi PPS dibuka di Sepang menempatkan 460 mangsa iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Dato' Ahmad Razali, Dewan Orang Ramai Jenderam Hilir, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil.

Sementara di Perak, mangsa banjir meningkat kepada 257 orang daripada 74 keluarga malam ini, berbanding 219 mangsa banjir daripada 63 keluarga, pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa masih ditempatkan di empat PPS di daerah Hilir Perak dan Kerian.

Menurut sekretariat itu, jumlah mangsa di Hilir Perak bertambah kepada 103 orang daripada 31 keluarga di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, manakala tiada mangsa di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, namun ia belum ditutup secara rasmi.

"Mangsa banjir di Kerian pula kekal 97 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di SK Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga berlindung di PPS SK Alor Pongsu," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong berada di tahap bahaya pada 4.08 meter, manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang dalam keadaan berjaga-jaga pada paras 13.10 meter.

Jabatan Kerja Raya Perak pula memaklumkan laluan FT 147 Jalan Selama di Kerian ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh, sementara laluan A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah dijadikan sebagai jalan alternatif.

-- BERNAMA