[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Banjir: 196 orang dipindahkan di Beaufort - JPBN Sabah

Bernama 10/09/2025 | 02:10 MYT
Jumlah mangsa banjir di PPK Selagon meningkat kepada 196 orang daripada 62 keluarga pagi ini, berbanding 121 daripada 39 keluarga pada 11.59 malam tadi. - Foto JBPN Sabah
KOTA KINABALU: Sebanyak 196 orang daripada 62 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon setakat pagi ini, susulan banjir di Beaufort.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, sebanyak lapan kampung terkesan akibat banjir yang melanda daerah itu sejak semalam.

"Jumlah mangsa meningkat kepada 196 orang daripada 62 keluarga pagi ini, berbanding 121 daripada 39 keluarga pada 11.59 malam tadi," menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memaklumkan beberapa lokasi di Jalan Beaufort-Menumbok terjejas akibat banjir antaranya kawasan Kolej Komuniti Beaufort dan pejabat Jabatan Air Sabah Bahagian Beaufort yang hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Dalam pada itu, Jabatan Keretapi Sabah memberitahu perkhidmatan kereta api hanya beroperasi dari Stesen Sembulan hingga Stesen Beaufort bermula pagi ini akibat laluan yang terkesan banjir.

"Perkhidmatan antara Beaufort ke Tenom masih belum beroperasi pagi ini disebabkan banjir masih menenggelami landasan di antara Stesen Beaufort dan Stesen Saliwangan, dan tanah runtuh di antara Stesen Pangi dan Stesen Rayoh," menurut jabatan itu.

-- BERNAMA


#pusat pemindahan #banjir #Sabah #Beaufort