Banjir: Ahli Parlimen mahu menteri beri penjelasan, lewat tangani isu banjir

Firdaus Azil
Disember 20, 2021 05:35 MYT
Isunya bukan peruntukan, tetapi tentang kelewatan operasi menyelamat mangsa banjir, kata beberapa Ahli Parlimen dalam sidang hari ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Isunya bukan peruntukan, tetapi tentang kelewatan operasi menyelamat mangsa banjir.
Itu antara yang dibangkitkan sebilangan Ahli-Ahli Parlimen sewaktu persidangan Dewan Rakyat hari ini, yang menuntut penjelasan Kerajaan Persekutuan tentang bencana banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.
Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu berkata, beliau sendiri telah terkandas selama lapan jam di stesen minyak, menyebabkan beliau sendiri tidak dapat pergi membantu penduduk di kawasannya yang terjejas.
“Ramai nelayan ingin menawarkan bot-bot mereka untuk tujuan menyelamat. Tetapi bot nelayan tak sesuai untuk operasi sebegitu. Saya sendiri tersangkut lapan jam di stesen minyak. Ramai tanya mana wakil-wakil rakyat, tetapi kami sendiri pun terkandas.
“Di mana bot penyelamat dari Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, dan yang lain-lain?” soal bekas Menteri Pertahanan itu lagi.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bangkit meminta penjelasan Kerajaan tentang langkah-langkah segera menangani isu banijr, yang telahpun mengakibatkan kematian.
“Saya berharap agar ada menteri bertanggungjawab untuk memberi penjelasan tentang langkah-langkah segera kerajaan tentang isu ini, yang telah memberi kesan terhadap puluhan ribu rakyat.
“Walaupun ini adalah permintaan yang tergempar, tetapi saya harap ada seorang menteri bertanggungjawab, atau menteri berkaitan untuk jelaskan tentang jenis-jenis bantuan jangka pendek bagi membantu rakyat,” katanya lagi.
Sementara itu Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan pula mahu kerajaan untuk mendedahkan jumlah sebenar mangsa banjir yang layak untuk menerima bantuan yang Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob umumkan sebelum ini, dan bila mereka boleh menerimanya.
Dalam pada itu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, perkara itu tidak dapat dibahaskan kerana tidak disenaraikan dalam Aturan Mesyuarat hari ini.
“Agenda kita hari ini adalah Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021. Saya mohon maaf, kalau Yang Berhormat mahu penjelasan dari menteri, terpulang kepada menteri untuk menghantar notis kepada saya.
“Kita tidak boleh melompat dari satu isu ke isu yang lain, tanpa mengambil kira isu utama dalam agenda kita. Itu adalah prosedur Parlimen,” katanya lagi.
#Dewan Rakyat #Isu banjir #ahli Parlimen #operasi menyelamat