MALAYSIA

Banjir Asia serlahkan risiko bencana berganda semakin meningkat - BMI

Bernama 02/12/2025 | 11:20 MYT
Bencana berganda dijangka berlaku dengan lebih kerap dan menyebabkan kerosakan lebih besar untuk tahun-tahun akan datang. - AP
KUALA LUMPUR: Siri banjir melanda Asia Selatan dan Asia Tenggara pada akhir November menyerlahkan peningkatan risiko bencana berganda, iaitu pelbagai bencana berlaku secara berturut-turut dalam tempoh masa yang dekat.

Menurut laporan terbaharu firma kewangan BMI bertajuk Environmental, Social, and Governance Country Weekly Digest, bencana berganda dijangka berlaku dengan lebih kerap dan menyebabkan kerosakan lebih besar untuk tahun-tahun akan datang.

"Berdasarkan data risiko iklim fizikal proprietari BMI, penduduk di Asia Tenggara merupakan antara yang tertinggi tinggal di kawasan berisiko banjir, termasuk sekitar 20 peratus masing-masing di Indonesia dan Malaysia, serta sekitar 15 peratus di Singapura, Vietnam, Filipina dan Sri Lanka," katanya dalam laporan bertajuk Floods in Asia Highlight Growing Risk of Compound Disasters.

BMI berkata peratusan itu semakin meningkat, didorong oleh pemanasan global dan pertumbuhan penduduk yang tinggal di kawasan terdedah bencana.

Antara 2020 dan 2024, bahagian populasi yang berisiko meningkat hampir empat mata peratusan di Singapura dan sekitar satu mata peratusan di Malaysia, Filipina dan Sri Lanka berbanding dekad sebelumnya.

Sementara itu, dianggarkan tambahan 1.2 juta penduduk di Indonesia berisiko dilanda banjir pada 2020-an berbanding 2010-an.

BMI berkata aset ekonomi utama turut semakin terdedah kepada risiko banjir. Banyak lapangan terbang, jalan raya dan landasan kereta api di rantau ini terletak di atau berhampiran kawasan yang kerap dilanda banjir, menyebabkan gangguan berulang termasuk di pintu masuk pelancongan dan perdagangan utama.

"Ini termasuk banyak hab pelancongan seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Indonesia di Denpasar (Bali) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta," katanya.

BMI turut berkata kawasan tanaman semakin terdedah kepada banjir besar, dengan kesan hujan lebat diburukkan lagi oleh penebangan hutan yang mempercepat hakisan tanah dan tanah runtuh sekali gus meningkatkan risiko kejutan bekalan makanan.

Laporan itu menyatakan bahawa rentetan siklon kuat dan hujan lebat monsun yang luar biasa pada akhir November mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh di rantau itu, mengorbankan lebih 1,300 orang.

Kerosakan paling teruk dilaporkan di Indonesia, Sri Lanka dan Thailand, memaksa ketiga-tiga kerajaan mengerahkan tentera bagi membantu usaha bantuan.

Menurut laporan itu, cuaca ekstrem itu diperkuatkan oleh keadaan La Nina dan fasa negatif Dwikutub Lautan Hindi (IOD), yang kedua-duanya dikaitkan dengan hujan melebihi paras purata di Asia Tenggara.

"Faktor tempatan seperti penebangan hutan berskala besar di Indonesia dan operasi perlahan beberapa benteng banjir di Thailand turut memburukkan lagi kesan banjir," katanya.

-- BERNAMA

#Asia #bencana alam #bencana berganda #banjir #hujan lebat #cuaca buruk #risiko