KUALA LUMPUR : Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) turut terbabit dalam mengagihkan bantuan keperluan asas kepada mangsa-mangsa banjir di Johor, kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail berkata demikian ketika meneruskan tinjauan banjir di Tangkak dan Muar pada Ahad.

Dalam tinjauan itu, Tunku Ismail berkesempatan melawat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama Bandar Tangkak bagi  mendapat perkembangan terkini mengenai banjir di daerah berkenaan.

"Setakat ini, terdapat 31 mangsa daripada tujuh keluarga yang telah dipindah ke PPS tersebut. Bantuan keperluan asas telah diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir oleh JMF dengan bantuan Southern Volunteers," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Selepas melawat Tangkak, Tunku Ismail meneruskan tinjauan ke Muar termasuk Pejabat Daerah Muar yang dijadikan pusat kawalan operasi banjir.

"Terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan dan badan keselamatan, pejabat pejabat daerah dan NGO-NGO Johor yang telah memastikan kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi bencana banjir ini.

"Saya sentiasa doakan yang terbaik untuk rakyat Johor dan semoga anda semua dilimpahi berkat Allah SWT," ujarnya lagi.

Tunku Ismail disertai oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Pegawai Daerah Tangkak, Azman Mohamed Shah dan Pegawai Daerah Muar, Mustaffa Kamal Shamsudin.