BALING: 16 buah keluarga yang tinggal di kawasan sepanjang jajaran Sungai Kupang, di sini akan dipindahkan melalui proses pemindahan fasa kedua selepas kediaman mereka disahkan tidak lagi selamat untuk diduduki.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan proses pemindahan itu dilakukan bagi membawa kesemua mereka ke tempat yang lebih selamat bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku terutama ketika musim hujan lebat.

"Pegawai Daerah Baling juga sedang menyediakan satu lokasi lain untuk pemindahan fasa yang kedua bagi penduduk yang berisiko dalam aliran air yang banyak sekarang ni di sekitar Lata Celak Kampung Ibu, ada beberapa rumah lagi yang telah dikenal pasti tidak selamat untuk didiami.

"Raja Muda Kedah dalam lawatan baginda dulu juga menitahkan agar penduduk yang berisiko di atas (jajaran) sungai dan juga beberapa lokasi di sekitar kawasan itu terus dipindahkan bagi menjamin keselamatan nyawa mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mangsa Banjir Tragedi Kepala Air Lata Celak Kampung Iboi di Desa KEDA Kampung Sadek, Kupang di sini pada Rabu.

Dalam program itu, Sanusi turut mengumumkan bahawa projek pembinaan rumah berkenaan dijangka siap dalam tempoh enam bukan atau menjelang Disember tahun ini.

Rumah berkenaan juga dibina di atas tanah milik Kerajaan Negeri dan turut mendapat kerjasama penuh daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), dan merupakan rumah 'sebuah-sebuah' yang mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.

Pembinaan rumah tersebut akan dilaksanakan oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Kynetics Land Sdn Bhd, dan kosnya dianggarkan sekitar RM70,000 hingga RM75,000 berbanding jangkaan asal iaitu RM57,000 sebuah.

Mengulas lanjut, mengenai jumlah keluarga terjejas dan jumlah rumah yang dibina, Muhammad Sanusi berkata, daripada 17 keluarga yang dikenal pasti sebelum ini, lima daripada itu adalah penyewa.