BALING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling mewujudkan pasukan petugas khas untuk membuat bancian mendapatkan angka sebenar rumah penduduk yang terjejas akibat kejadian banjir dan kepala air yang berlaku di daerah ini pada 4 Julai lepas.

Pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana itu Mohd Shahadan Abdullah berkata pasukan itu akan dianggotai pihak Pejabat Daerah dan Tanah Baling, Majlis Daerah Baling (MDB), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu kira-kira 80 orang.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Baling berkata pasukan itu dibahagikan kepada enam kumpulan yang akan membanci rumah penduduk terjejas di 41 kawasan terlibat dengan bancian itu bermula esok dan dijangka siap dalam tempoh dua hari.

"Sebelum ini kami dapat angka (laporan polis) yang dibuat adalah 802, tetapi pada hari ini meningkat kepada 1,228 dan maklum balas yang kami dapat kemungkinan ada satu isi rumah lebih daripada satu laporan.

"...dalam bancian ini kami akan dapat secara tepat kerosakan, ada yang 'total lost', ada yang (rumah) tak boleh dibaiki, ada yang boleh dibaiki. Ada yang air masuk rumah. Kami nak dapatkan tafsiran tepat untuk bawa angka yang tepat kepada kerajaan," katanya pada sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah Baling di sini hari ini.

Turut serta dalam sidang media itu Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat.

Mohd Shahadan berkata kumpulan dalam pasukan itu akan diketuai penghulu dengan kerja bancian akan dibuat secara terperinci di kesemua kawasan terlibat termasuk berjumpa dengan mangsa yang terjejas untuk direkodkan dalam borang bancian dan dianalisa.

"Kami akan sahkan dalam jawatankuasa bencana daerah sebelum kami angkat kepada jawatankuasa bencana negeri, kemudian kepada pihak NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara)," katanya.

Mohd Shahadan berkata pihaknya akan meminta bantuan pihak Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan bomba sekiranya keanggotaan pasukan itu tidak mencukupi.

Beliau berkata kerja bancian melalui pasukan itu akan dilakukan lagi jika terdapat penambahan baharu laporan polis selepas tempoh dua hari ia diselesaikan sepenuhnya.-- BERNAMA