Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Banjir: Beberapa PPS ditutup petang ini, jumlah mangsa semakin berkurangan di tiga negeri

Bernama 26/10/2025 | 11:13 MYT
Keadaan banjir di Perak, Kedah dan Pulau Pinang beransur pulih apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 3,523 orang berbanding 5,850 orang pagi tadi, berikutan penutupan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS). - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Perak, Kedah dan Pulau Pinang beransur pulih apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 3,523 orang berbanding 5,850 orang pagi tadi, berikutan penutupan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS).

Di PERAK, sebanyak 27 PPS masih beroperasi manakala satu PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Dew di Kerian telah ditutup setakat 4 petang ini, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak.

Menurut kenyataan itu, jumlah mangsa banjir di empat daerah iaitu Larut Matang Selama (LMS), Manjung, Kerian dan Perak Tengah, berkurangan kepada 1,339 orang daripada 437 keluarga berbanding 2,467 orang daripada 831 keluarga sebelum ini.

LMS merekodkan pengurangan jumlah mangsa kepada 555 orang berbanding 1,694 orang di 19 PPS, manakala di Manjung pula jumlah mangsa menurun sedikit kepada 531 orang berbanding 541 orang di lima PPS.

Bagi daerah Kerian, sebanyak 143 mangsa masih berlindung di tiga PPS manakala 110 mangsa kekal berada di sebuah PPS di Perak Tengah.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,335 orang daripada 381 keluarga berbanding 1,934 orang daripada 602 keluarga pagi tadi, melibatkan mangsa di lima daerah yang ditempatkan di sembilan PPS.

JPBN Kedah memaklumkan 10 PPS telah ditutup petang ini manakala daerah Kulim kekal dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu 890 orang daripada 252 keluarga di lima PPS, diikuti Pendang dengan 279 orang daripada 74 keluarga di satu PPS.

"Pokok Sena pula merekodkan 124 mangsa daripada 37 keluarga di satu PPS, satu PPS di Kubang Pasu (23 mangsa, 11 keluarga) manakala 19 mangsa daripada tujuh keluarga masih berindung di satu PPS," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir memaklumkan empat sungai di Kedah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Pendang di Pendang (3.54 meter), Sungai Laka di Kubang Pasu (21.61m), Sungai Titi Kerbau di Pendang (6.7m) dan Sungai Padang Terap di Kubang Pasu (4.21m).

Di PULAU PINANG, satu-satunya PPS di Daerah Barat Daya iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Awang Had Salleh, yang menempatkan 34 orang daripada 10 keluarga pagi tadi, telah ditutup petang ini.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 3.57 petang, jumlah mangsa banjir di Pulau Pinang menurun kepada 849 orang daripada 233 keluarga di enam PPS berbanding 1,049 orang daripada 292 keluarga di tujuh PPS pagi tadi.

Daerah Seberang Perai Utara (SPU) kekal mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 615 orang daripada 165 keluarga ditempatkan di empat PPS iaitu SK Lahar Yooi (291 orang), SK Padang Menora (120 orang), Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang (85 orang) dan Pusat Pemindahan Labuh Banting (119 orang).

Di Seberang Perai Tengah, 193 orang daripada 58 keluarga ditempatkan di SK Guar Perahu, manakala 41 orang daripada 10 keluarga berada di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir.

Keadaan cuaca yang semakin baik dan cerah menyebabkan banjir di beberapa kawasan mulai surut serta membolehkan penduduk pulang ke rumah masing-masing.

-- BERNAMA


#banjir #PPS ditutup #Pusat Pemindahan Sementara #mangsa banjir