KUANTAN: Banjir besar pada 18 Disember baru-baru ini membawa dugaan berganda kepada sebuah keluarga di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Rangin, di sini. 

Selain kehilangan kelengkapan rumah, Norfardilatul Akmar Mustafa dan suami Mohd Asri Abdul Rashid, turut berdepan kesukaran apabila alat bantuan pernafasan yang diguna anak bongsu mereka, rosak akibat ditenggelami air.

Norfardilatul Akmar kini buntu memikirkan alatan tersebut yang tidak boleh digunakan, sekali gus mengakibatkan anaknya, Mohd Hisyamuddin, 7, yang mempunyai masalah paru-paru, menghadapi kesukaran bernafas dengan sempurna.

Menurut Norfardilatul Akmar, mereka telah cuba untuk kembali ke rumah untuk menyelamatkan alat tersebut pada hari kedua banjir namun tidak dibenarkan petugas keselamatan atas faktor keselamatan.

"Masa banjir tu air memang sangat laju jadi saya tak sempat nak selamatkan benda ini... saya pun tak ada kenderaan nak bawa... saya ada motosikal saja.

"Keesokan (hari kedua banjir) saya nak datang nak ambil tapi orang tak bagi masuk dah sebab air terlalu tinggi," katanya yang tidak dapat menahan kesedihan dan kerap menitiskan air mata.

BACA SEMUA MENGENAI BANJIR DI SINI

Norfardilatul Akmar yang ditemui di kediamannya pada Khamis berkata, mereka tidak mampu untuk membeli alat berkenaan memandangkan harganya sekitar RM14,000.

Katanya, suaminya telah cuba mencuci alat yang diterima daripada hospital dan Pusat Zakat Pahang tersebut dengan harapan ia boleh digunakan semula, namun tidak berjaya.

Harapannya kini ada pihak yang boleh membantu memperbaiki alat itu atau membeli set yang baharu bagi membolehkan anaknya kembali boleh bernafas dengan sempurna.

"Saya mengharapkan sangat-sangat siapa yang dapat membantu anak saya baiki mesin ini... sebab itu  nyawa anak saya... setiap malam dia pakai.

"Saya cuma fikirkan keselamatan dia sahaja, bagaimana kami nak cari dana untuk membeli alat yang baru untuk dia," katanya yang turut memaklumkan Mohd Hisyamuddin dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada Mac nanti.

Menceritakan keadaan anaknya, Norfardilatul Akmar berkata, Mohd Hisyamuddin mula dikesan menghidap penyakit berkaitan paru-paru sejak berusia enam bulan dan banyak menghabiskan masa di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan bagi tujuan rawatan.

Hasil rawatan mendapati sebelah paru-paru anaknya itu tidak berfungsi dan bergantung kepada mesin bantuan pernafasan untuk meneruskan kehidupan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan Mohd Hisyamuddin boleh menghubungi talian 011-2534 0421 dan bagi yang berhasrat menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Maybank 156226176966 atas nama Norfardilatul Akmar Mustafa.