KUALA LUMPUR: Berlaku defisit kepercayaan kepada ahli politik dalam isu pengurusan bencana banjir pada kali ini, namun kepercayaan mangsa dan rakyat terhadap jentera kerajaan masih utuh.

Jelas Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia (MBM), Fauzi Fadzil, defisit berkenaan adalah disebabkan sesetengah ahli politik tidak menunjukkan kompetensi dalam menyelesaikan isu dan bantuan kepada mangsa. 

"Ketika kita bergerak di lapangan, memang ada defisit kepercayaan dalam kalangan ahli politik, namun terhadap pegawai dan jentera kerajaan masih utuh.

"Ada ahli politik yang berjanji tawarkan bantuan, namun bila kita dapatkan perkembangan tiada respon, maka kompetensi ahli politik tidak terserlah," katanya dalam Buletin AWANI pada Isnin.

[LAPOR LANGSUNG] Banjir: Jumlah mangsa di lima negeri menurun

Banjir | #RakyatJagaRakyat dan 'kesihatan' demokrasi

Bagaimanapun Fauzi memuji pengorbanan pegawai dan jentera kerajaan dalam mengurus banjir, namun kelemahan di pihak atasan dalam merancang dan koordinasi sedikit sebanyak menjejaskan reputasi pemerintah dan imej sesetengah ahli politik terlibat.

"Jadi apabila ada mesyuarat di peringkat kerajaan, ketua-ketuanya serta pemimpin di peringkat NGO tidak dilibat urus walaupun kami yang banyak turun di lapangan.

"Ia menyebabkan bantuan yang sampai tidak seperti yang diharapkan oleh rakyat, jadi proses merancang dan koordinasi terdapat kelemahan," jelasnya lagi.

Fauzi turut mengharapkan agar penambahbaikan dapat dilakukan pada masa akan datang untuk mempercepatkan penyaluran bantuan dapat dibuat.