BATU PAHAT: Banjir yang melanda daerah Batu Pahat pada ketika ini, dijangka berlarutan seminggu lagi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, paras air banjir mungkin akan surut sepenuhnya, jika cuaca kekal cerah sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, situasi bencana termenung yang melanda daerah itu, berpunca daripada pergerakan air dari tanah tinggi, yang membanjir kawasan rendah.

Selain itu, tambah beliau, fenomena air pasang besar yang berlaku sekitar jam 12 tengahari dan 12 tengah malam, memburukkan lagi keadaan di daerah ini.

"Setakat petang (Jumaat) ini, kita masih lagi melihat trend air meningkat di Batu Pahat, dengan adanya kawasan baharu dilaporkan terjejas, seperti kawasan Senggarang dan kawasan Minyak Beku.

"Fenomena air pasang besar ini telah berlaku lebih kurang dua hari lepas, yang berlaku dua kali sehari pada jam 12 tengah hari dan 12 tengah malam, menyebabkan limpahan air di kawasan berhampiran," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat fardu Jumaat di Surau Kampung Parit Kassim, disini, pada Jumaat.

Katanya, purata bacaan paras air di sungai meningkat pada kadar tiga meter, disebabkan fenomena air pasang tersebut.

Menurut Ismail Dollah, fokus operasi bantuan bencana dikalangan pihak polis kini terarah kepada kawasan-kawasan yang lebih berisiko tinggi untuk dilanda banjir.

"kita telah alihkan kekuatan kita ke taman dan perkampungan berhampiran Sungai Simpang Kiri,

"Ini memandangkan aliran air daripada Sungai Simpang Kanan di Empangan Bekok dan Empangan Semberong mengalir dan akan bertembung di sungai ini, sekaligus menyebabkan limpahan air dikawasan pesisirnya, jika berlaku air pasang besar." Tambahnya.

Setakat 4 petang, Batu Pahat kekal sebagai daerah paling teruk terjejas banjir, dengan 37,563 mangsa direkodkan membabitkan 10,545 buah keluarga.

Kesemua mereka kini ditempatkan di 112 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi disekitar Batu Pahat.