23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
MALAYSIA

Banjir di Kedah: Balai Polis Langgar turut terjejas

Bernama 05/10/2025 | 14:52 MYT
Balai Polis Langgar, dekat sini tidak dapat beroperasi buat sementara waktu akibat banjir sejak semalam, kata Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah. - Foto Facebook Polis Kedah
ALOR SETAR: Balai Polis Langgar, dekat sini tidak dapat beroperasi buat sementara waktu akibat banjir sejak semalam, kata Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah.

Beliau berkata Sistem Laporan Polis Bersepadu (IPRS) telah ditutup sementara kerana balai berkenaan digenangi air dan orang ramai boleh membuat laporan di balai polis lain yang berdekatan.

"Air naik secara mendadak akibat hujan lebat semalam dan pada 6 petang, air telah memenuhi kawasan balai dengan dianggarkan kedalaman air di dalam balai kira-kira 0.13 meter," katanya kepada Bernama hari ini.

Adzli berkata selain terletak di kawasan rendah, kejadian berkenaan turut berpunca akibat masalah parit tersumbat dengan rumput serta sampah dan pihaknya telah menghubungi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan pembersihan di hadapan balai.

Sementara itu, beliau berkata segala dokumen dan aset penting tidak terjejas dalam kejadian itu kerana telah dipindahkan ke tempat yang selamat.

"Di balai ini juga ada 10 unit berek dengan hanya lima unit di tingkat bawah dinaiki air sedikit tetapi mereka yang menetap di situ tidak berpindah," katanya.

Petang tadi, Adzli meninjau keadaan Balai Polis Langgar yang ditenggelami banjir, selain menyantuni pegawai dan anggota yang bertugas di situ.

-- BERNAMA


#banjir kedah #Balai Polis Langgar #Adzli Abu Shah #Sistem Laporan Polis Bersepadu IPRS ditutup