[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Banjir di Kelantan pulih, mangsa di Sabah meningkat

Bernama 17/09/2025 | 10:30 MYT
Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara di Dewan Semai Bakti Felda Chiku 2, Gua Musang ditutup hari ini. - Gambar hiasan/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Banjir di KELANTAN pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Semai Bakti Felda Chiku 2, Gua Musang yang menempatkan 218 orang daripada 51 keluarga ditutup hari ini.


Ringkasan AI
  • Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Gua Musang ditutup, melibatkan 218 mangsa daripada 51 keluarga.
  • Di Sabah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,919 orang daripada 814 keluarga, dengan dua PPS baharu dibuka di Sipitang dan 126 kampung terjejas sejak 9 September.
  • JPBN Sabah melaporkan trend peningkatan mangsa di Beaufort, Papar dan Sipitang, manakala Penampang, Membakut dan Putatan menunjukkan penurunan.


Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gua Musang Bun Tham Eh Gin berkata PPS itu ditutup pada 10 pagi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

"Bagaimanapun, penduduk di kawasan berisiko banjir dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga apabila hujan lebat dan perlu patuh arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah," katanya ketika dihubungi Bernama.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir petang ini meningkat kepada 2,919 orang daripada 814 keluarga berbanding 2,897 orang daripada 813 keluarga pagi tadi di 25 PPS dan sebuah Pusat Pemindahan Kekal (PPK) di Selagon, Beaufort.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan dua lagi PPS dibuka hari ini di daerah Sipitang iaitu Dewan Mini Mesapol dan Dewan Sekolah Kebangsaan Padang Berampah.

"Tiga daerah menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa iaitu Beaufort, Papar dan Sipitang manakala Penampang, Membakut dan Putatan mencatatkan penurunan," menurut JPBN Sabah.

Jawatankuasa itu memaklumkan sebanyak 126 buah kampung terjejas berikutan banjir yang melanda Sabah sejak 9 Sept.

-- BERNAMA



#banjir kelantan #banjir sabah #beransur pulih #pusat pemindahan #mangsa banjir