MALAYSIA

Banjir di Kuching: Jumlah mangsa menurun, PPS meningkat

Rudi Affendi Khalik 01/01/2026 | 00:00 MYT
Pasukan Bomba dan Penyelamat Sarawak sedang melaksanakan kerja-kerja penyelamatan dan pemindahan di Kampung Sinar Budi Baru dan Segedup Surih. - Foto JBPN Sarawak
KUCHING: Perkembangan banjir di negeri ini menyaksikan jumlah mangsa menurun di bandar raya ini, sementara sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka tengah malam tadi.

Terbaharu, PPS Surau Ar-Rahman Kampung Sungai Batu dibuka pada jam 12.09 tengah malam bagi menempatkan empat keluarga dan 16 mangsa.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan, jumlah mangsa di dua PPS yang awal merekodkan penurunan selepas berlaku penyelarasan semula, berikutan ada mangsa yang mendaftar lebih dari sekali.

Di Dewan Masyarakat Stapok, jumlah mangsa berkurang kepada 55 keluarga dan 203 mangsa.

Manakala di Dewan Raden Piang Kampung Sinar Budi Baru, menghimpunkan 31 keluarga dan 129 mangsa.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak memaklumkan mereka telah mengatur gerak pasukan untuk memindahkan mangsa mangsa dari Kampung Segedup Surih ke Dewan Haji Kamaruddin Bin Ahmad .

"Kita melaksanakan kerja-kerja pemindahan sekitar jam 5 pagi membabitkan 12 mangsa dewasa, dua warga emas, empat kanak-kanak dan dua bayi."

Untuk rekod, hujan tanpa henti sejak 30 jam yang lalu telah menyebabkan beberapa kawasan dan jalan di bandar raya ini digenangi air, namun keadaan masih terkawal.






#banjir #PPS #Sarawak #mangsa banjir