KUANTAN: Banjir di Pahang dilihat semakin pulih apabila bilangan penduduk terjejas di daerah Kuantan merekodkan 221 mangsa daripada 62 keluarga di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 8 pagi, pada Rabu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang dalam satu kenyataan berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan ketara berbanding jam 4 petang semalam yang merekodkan seramai 873 mangsa daripada 214 keluarga di lapan PPS di daerah ini.

"Tiga PPS di daerah ini yang masih dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating yang menempatkan 138 mangsa daripada 39 keluarga.

"Ia diikuti 45 mangsa daripada 13 keluarga di Surau Kampung Chendor dan SK Sungai Ular yang merekodkan 38 mangsa daripada 10 keluarga," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin masih merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya, setakat jam 7.45 pagi.

Sungai Keratong merekodkan bacaan 11.29 meter (m) melebihi paras bahaya yang ditetapkan iaitu 11m.

Dua sungai pula merekodkan bacaan air sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Sungai Belat di Seri Damai, di sini.

Sebanyak 12 sungai merekodkan bacaan melepasi paras waspada iaitu tiga sungai di Maran; dua di Temerloh, Bera dan Kuantan; serta satu di Lipis, Jerantut dan Pekan.

Tiga sungai di Maran ialah Sungai Pahang di Kampung Chenor; Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, dan Sungai Luit di Kampung Subuh.

Di Temerloh pula, Sungai Pahang di Kuala Krau dan Sungai Pahang (Lubuk Pasu); Sungai Pahang di Waterfront, dan Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang di Bera.

Sungai Lepar di Jambatan Gelugor dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi; Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan; Sungai Tembeling di KampungMerting, Jerantut dan Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis.