KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Pahang masih terkawal buat masa ini dibantu oleh persediaan rapi kerajaan negeri dan semua agensi terlibat, kata Menteri Besarnya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa siap siaga bagi menghadapi bencana itu yang berlaku saban tahun terutamanya ketika Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh.

"Sebelum menghadapi musim ini, selalunya kami akan ada mesyuarat dengan agensi kerajaan dan membuat post-mortem terhadap apa yang berlaku (sebelum ini) serta tindakan jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang perlu diambil," katanya dalam program temu bual Reaksi terbitan Bernama Radio hari ini.

Beliau berkata agensi kerajaan seperti Majlis Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sentiasa memantau keadaan di pusat pemindahan sementara (PPS), selain memberi taklimat kepada mangsa tentang keadaan semasa.

"Walaupun ancaman COVID-19 dalam keadaan terkawal, pihak bahagian kesihatan telah pun terlibat menjaga PPS dengan memantau kesihatan mangsa dan adanya penjarakan sosial," katanya.

Selain itu, Wan Rosdy berkata Pahang merupakan negeri pertama yang membuka pusat pemindahan tetap (PPT) iaitu di Kampung Luit, Maran dan dalam perancangan untuk membuka PPT di daerah Kuantan, Pekan, Temerloh dan Lipis.

Beliau turut menyeru rakyat negeri itu supaya sentiasa waspada dan siap siaga serta mengambil tindakan awal untuk berpindah ke mana-mana PPS yang terdekat jika rumah mereka dinaiki air.

"Kami juga minta bomba arahkan mereka (mangsa) pindah jika air naik kerana keselamatan nyawa itu lagi penting daripada segalanya. Alhamdulillah, saya mengucapkan penghargaan kepada semua mangsa banjir dan agensi kerajaan yang telah memberi kerjasama," katanya.

Setakat pagi ini, di Pahang sebanyak 398 mangsa banjir daripada 101 keluarga ditempatkan di lapan PPS di daerah Raub, Kuantan, Jerantut dan Lipis.

-- BERNAMA