Keadaan banjir di Pantai Timur hampir pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan seramai 59 orang.

Jumlah berkenaan dijangka terus berkurangan ekoran cuaca yang bertambah baik di mana sehingga jam 6.30 pagi, hanya tiga pusat pemindahan masih dibuka.

Di terengganu, ia hanya membabitkan 41 mangsa.

Menurut portal banjir negeri, daripada jumlah tersebut 20 orang di Hulu Terengganu yang ditempatkan ditempatkan di Dewan Batu 24, sementara seramai 21 orang lagi di Setiu, ditempatkan di Surau Kampung Nyatoh.

Kejadian banjir yang memuncak hujung bulan lalu meragut 6 nyawa di negeri berkenaan.

Sementara di Kelantan, keadaan banjir di jajahan Pasir Puteh beransur pulih dengan 18 orang daripada lima keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan.

Menurut portal banjir negeri, penduduk dari kampung Gong Keding itu ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang, Pasir Puteh.

Sementara itu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia membantu penduduk Rantau Panjang yang menghadapi masalah air bertakung di kediaman mereka akibat banjir.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, dalam pelan jangka pendek, anggotanya akan membantu menyegerakan proses pengepaman air ke sungai membabitkan 50 buah rumah.

Jelas zulkifli, pihaknya bersedia melakukan tugas tersebut, namun penyediaan pam perlu dilakukan jabatan perparitan dan saliran (JPS).

“Dan apabila berlaku air itu mengalir ke kampung mereka yang merupakan berada di kawah dan apabila surut, air itu akan bertakung jadi jangka pendeknya kita boleh atasi dengan menyedut keluar dengan menggunakan pam besar tetapi perkara itu akan berulang setiap tahun... tetapi penyelesaian jangka panjang adalah bina ‘water gate’ atau kunci air,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan di beberapa pos kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang.

Jelasnya, perbincangan akan dibuat dengan JPS dan hasilnya akan disampaikan kepada kerajaan pusat untuk tindakan selanjut.

Menyentuh mengenai kawalan di sempadan, Zulkifli menjelaskan pihaknya melalui Ops Wawasan melakukan tugas rondaan setiap masa tanpa mengira musim banjir.

Selain itu ujarnya, limpahan air Sungai Golok pada musim banjir memudahkan penyeludup melakukan aktiviti haram.

Untuk itu, pengawasan pihak ATM dipertingkatkan bagi mengelak sempadan negara dibolos.