KUALA LUMPUR: Banjir di Pahang dan Sabah pulih sepenuhnya selepas 140 mangsa daripada 52 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Berdasarkan laporan terkini kejadian banjir di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa banjir di Johor pula kekal 65 orang daripada 19 keluarga yang masih berlindung di dua PPS di Daerah Segamat setakat petang ini.

Selain itu, menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, jumlah mangsa banjir di daerah Tatau di Bintulu dan Debak di Betong meningkat kepada 335 orang daripada 103 keluarga petang ini yang ditempatkan di tiga PPS berbanding 30 orang daripada enam keluarga pagi tadi.

Nadma turut memaklumkan, 27 mangsa daripada lapan keluarga di Bintulu, Sarawak terkesan akibat bencana ribut, namun tiada PPS dibuka setakat ini.

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor, Kedah, Perlis dan Terengganu berada pada paras bahaya setakat 4 petang.

Sungai yang terlibat di Johor ialah Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Muar di Segamat; Sungai Kedah, Kota Setar, Kedah; Sungai Arau, Perlis dan Sungai Terengganu, Hulu Terengganu.

Menurut Nadma, 17 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Kuala Mentiga - Terapai di Pekan, Pahang; Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor dan Jalan Bukit Kayu Hitam - Bukit Tangga - Sintok di Kubang Pasu, Kedah.

-- BERNAMA