MALAYSIA

Banjir di Taman Bukit Kemuning surut, 61 mangsa masih di PPS

Bernama 21/06/2025 | 06:20 MYT
Kejadian banjir itu dipercayai berpunca daripada kegagalan fungsi pam saliran utama yang mengeluarkan air dari kawasan perumahan berkenaan. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Seramai 61 mangsa daripada 12 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Aster, Seksyen 32 di sini susulan kejadian banjir di Taman Bukit Kemuning semalam.

Ringkasan AI
  • Seramai 61 mangsa daripada 12 keluarga masih berada di PPS Dewan Aster, susulan banjir di Taman Bukit Kemuning, menurun daripada 298 mangsa sebelumnya.
  • Keadaan banjir telah pulih sepenuhnya, dengan cuaca baik dan paras air di longkang serta parit kembali normal menurut pemantauan pihak bomba.
  • Banjir dipercayai berpunca daripada kegagalan pam saliran utama, menurut Ketua Bomba Zon Shah Alam.

Menurut Portal InfoBencana JKM, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding semalam yang merekodkan 298 mangsa, sejak PPS tersebut dibuka sekitar 4 petang.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15 Shah Alam Ahmad Nazmi Halil berkata hasil pemantauan pihaknya mendapati keadaan di lokasi terjejas telah pulih sepenuhnya dan situasi semasa adalah terkawal.
"Berdasarkan pemantauan pegawai dan anggota di lokasi, cuaca dilaporkan baik dan limpahan air telah surut sepenuhnya, manakala paras air di parit serta longkang berada pada tahap normal," katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Ketua Bomba Zon Shah Alam Ahmad Zaidi Safuan dilaporkan berkata kejadian banjir itu dipercayai berpunca daripada kegagalan fungsi pam saliran utama yang mengeluarkan air dari kawasan perumahan berkenaan.
-- BERNAMA
#mangsa banjir #PPS #Taman Bukit Kemuning #shah alam