KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu berkurangan sedikit pagi ini dengan seramai 621 mangsa daripada 147 keluarga masih ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah setakat 8 pagi, berbanding 628 mangsa daripada 149 keluarga, malam tadi.

Di Kuala Terengganu, seramai 232 mangsa daripada 61 keluarga ditempatkan di dua PPS, manakala di Besut seramai 196 mangsa daripada 43 keluarga berlindung di sebuah PPS, manakala di Dungun seramai 62 mangsa daripada 12 keluarga masih berada di dua PPS dan Marang seramai 69 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di dua PPS.

Di Kuala Nerus pula seramai 33 mangsa daripada enam keluarga berlindung di enam PPS manakala di Setiu, hanya 14 mangsa daripada tiga keluarga masih berada di tiga PPS.

Di Kemaman seramai 15 mangsa daripada empat keluarga berlindung di sebuah PPS iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Labohan.

Sementara itu paras air sungai di stesen-stesen utama negeri ini berada pada tahap normal kecuali di stesen Sungai Nerus di Kampung Bukit dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri yang berada pada tahap waspada.
 
-- BERNAMA