Banjir: Empat sukarelawan parti Muda positif COVID-19

Faris Danial Razi
Disember 28, 2021 15:41 MYT
Zaidel turut memberitahu pihaknya sedang menjalankan proses memaklumkan kontak rapat ke atas semua kes positif (RTK) bagi langkah berjaga-jaga. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Empat kes positif COVID-19 telah dikesan dalam kalangan sukarelawan yang pernah hadir dan bertugas di ibu pejabat koordinasi banjir Parti Muda.
Ketua Penerangan Parti Muda, Zaidel Baharuddin memaklumkan, kes dikesan selepas seorang sukarelawan disah positif ketika membuat ujian ‘kit’ air liur sebelum dibenarkan masuk ke ibu pejabat.
“Tiga lagi kes ialah saringan ujian RTK di klinik atas arahan sekretariat. Untuk makluman, SOP harian kami menetapkan semua petugas dan sukarelawan perlu menjalani ujian kit air liur sebelum masuk ke ibu pejabat.
“Pihak pengurusan kini sedang membuat ujian saringan PCR dan RTK (klinik) ke atas semua petugas di Ibu Pejabat. Dijangkakan keputusan PCR dijangkakan keluar sebelum tengah hari Rabu,” ujarnya.
Zaidel turut memberitahu pihaknya sedang menjalankan proses memaklumkan kontak rapat ke atas semua kes positif (RTK) bagi langkah berjaga-jaga.
Beliau turut menambah bahawa parti itu akan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh KKM dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
BACA: Jangan fitnah, setiap transaksi Muda untuk misi banjir direkod dan diaudit - Syed Saddiq
Terdahulu, Presiden penaja Parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan setiap transaksi dan perbelanjaan yang dibuat partinya untuk misi banjir sentiasa direkod dan diaudit.
Syed Saddiq menjelaskan pihaknya juga menyimpan semua resit dan senarai pembelian yang dibuat untuk membuktikan ketelusan kepada penyumbang dana misi banjir.
#Parti MUDA #positif COVID-19 #Zaidel Baharuddin #Syed Saddiq