Banjir gelombang kedua di Terengganu pulih sepenuhnya

Bernama
Disember 19, 2023 07:58 MYT
Anggota tentera membantu membersihkan rumah mangsa banjir yang dipenuhi lumpur ketika tinjauan di Kampung Tok Kah, 17 Dis 2023. -Gambar fail/Bernama
KUALA TERENGGANU: Banjir gelombang kedua di Terengganu pulih sepenuhnya apabila empat pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di tiga daerah ditutup secara rasmi 1 tengah hari tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), empat PPS tersebut adalah Balairaya Kampung Pelandang, Dungun, Surau Kampung Nyatoh, Setiu, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, Marang yang sebelum ini menempatkan seramai 158 mangsa daripada 16 keluarga.
Menurut kenyataan itu semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas air surut sepenuhnya hari ini.
Hujan lebat berterusan minggu lepas menyebabkan enam daerah iaitu Marang, Hulu Terengganu, Dungun, Setiu, Besut dan Kemaman dilanda banjir sejak Khamis lepas, menyebabkan hampir 3,000 mangsa daripada lebih 600 keluarga terpaksa berpindah ke PPS.
Bagaimana pun JPBNT memaklumkan pihaknya sentiasa bersiap siaga menghadapi banjir gelombang yang seterusnya memandangkan musim Monsun Timur Laut masih belum berakhir.
-- BERNAMA
#banjir #terengganu #pulih sepenuhnya #PPS