Banjir gelombang ketiga landa Baling

Abdul Hadi Che Awang
Oktober 16, 2019 01:45 MYT
Hujan lebat yang turun di daerah Baling sejak jam 4 petang Selasa menyebabkan paras air sungai di Kampung Seputeh, Mukim Bakai meningkat sehingga melimpah ke kawasan perumahan. - Astro AWANI
Selepas cuaca baik sejak Jumaat dan kesemua pusat pemindahan dikosongkan Sabtu lalu, penduduk Baling sekali lagi terpaksa berpindah ke pusat pemindahan selepas hujan lebat sejak lewat petang semalam, mengakibatkan berlakunya gelombang banjir fasa ketiga di daerah terbabit.
Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 43 orang daripada 16 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan di Surau Al Huda Kampung Seputeh, selepas kediaman mereka dinaiki air.
Menurut Pegawai JKM Daerah, Shamsul Izrin Isahak, hujan lebat yang turun sejak jam 4 petang pada Selasa menyebabkan paras air sungai di Kampung Seputeh, Mukim Bakai meningkat sehingga melimpah ke kawasan perumahan penduduk.
Jelasnya, kesemua 43 orang mangsa telah dipindahkan ekoran air sedalam 0.5 hingga 1 meter memasuki rumah mereka, sekali gus menyebabkan keadaan berselut.
Tambah Shamsul, operasi pemindahan mangsa turut melibatkan pelbagai agensi penyelamat termasuk pihak Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia serta Pejabat Daerah Baling.
Tegas beliau, pihaknya turut menyampaikan bantuan awal berupa keperluan makanan, selimut, bantal, tuala serta ubat-ubatan dan akan sentiasa berada di pusat pemindahan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa dapat dijaga.
Shamsul turut menasihati mangsa-mangsa banjir di daerah ini yang masih belum berpindah agar segera berbuat demikian bagi memudahkan tugas dan proses pemindahan yang akan dijalankan agensi penguatkuasa yang terbabit.
#Baling #banjir #bomba #Jabatan Kebajikan Masyarakat #Kampung Seputeh #mangsa #mangsa banjir #mati lemas #polis #pusat pemindahan #Shamsul Izrin Isahak