NATIONAL
Banjir: Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah mula dinaiki air

Tiga jajahan di Kelantan iaitu Gua Musang, Kuala Krai, dan Tanah Merah mula dinaiki air akibat hujan lebat berterusan. -Bernama
KOTA BHARU: Tiga jajahan di Kelantan iaitu Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah mula dinaiki air hari ini berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Ringkasan AI
- Tiga jajahan di Kelantan iaitu Gua Musang, Kuala Krai, dan Tanah Merah mula dinaiki air akibat hujan lebat berterusan. Di Gua Musang, 1,650 penduduk terputus hubungan kerana jambatan tenggelam.
- Di Kuala Krai, air mula naik di beberapa kawasan tetapi tiada penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini. Di Tanah Merah, beberapa kampung di kawasan rendah turut dinaiki air.
- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan hingga 16 Disember, dengan potensi hujan lebat di timur dan utara Semenanjung serta Sabah.
Penghulu Mukim Kampung Chenulang di Kuala Krai, Ab Aziz Isa berkata walaupun air mula naik di beberapa kawasan seperti Kampung Kebun Pisang, Kampung Pasir Jering dan Kampung Dusun Ban, tiada penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.
"Alhamdulillah, keadaan masih terkawal dan saya akan terus memantau keadaan penduduk di kampung ini, sekiranya situasi semakin teruk saya akan mengarahkan mereka segera untuk berpindah ke PPS," katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Tanah Merah pula mendapati beberapa kampung di kawasan rendah seperti Kampung Murin, Bukit Kechik dan Kampung Lawang turut dinaiki air kira-kira 2 pagi tadi.
Berdasarkan portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Aring di Gua Musang melepasi paras bahaya dengan bacaan 76.32 meter (m) manakala Sungai Golok di Tanah Merah berada pada paras amaran iaitu 23.07m setakat 11 pagi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan hingga 16 Dis ini dan berpotensi menyebabkan hujan di timur dan utara Semenanjung serta Sabah selain angin kencang serta laut bergelora di Laut China Selatan.
Amaran hujan berterusan (buruk dan waspada) melibatkan timur dan utara Semenanjung berkuat kuasa hingga esok (11 Dis).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami