MALAYSIA

Banjir Hatyai: Maklumat palsu ganggu operasi bantu rakyat Malaysia terkandas

Bernama 27/11/2025 | 06:45 MYT
Maklumat tidak sahih bukan sahaja mengganggu perancangan operasi, malah menjejaskan usaha untuk memberikan bantuan kepada mangsa yang benar-benar memerlukan. - Gambar fail/ MTL Resque Team
ALOR SETAR: Pasukan penyelamat sukarela Malaysia yang sedang giat membantu rakyat Malaysia terkandas akibat banjir di Hat Yai, Thailand, kini berdepan cabaran baharu akibat penyebaran maklumat palsu hingga menjejaskan misi mereka.

Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani Leong Beng Tat berkata sejak pasukannya tiba di kawasan bencana, mereka menerima pelbagai mesej kecemasan melalui WhatsApp daripada pihak tertentu dipercayai bertujuan mendapatkan keutamaan bantuan.

"Kita menerima banyak mesej kecemasan namun sebahagiannya didapati tidak benar selepas disemak.

"Antara maklumat tidak sahih yang tersebar adalah kononnya terdapat mangsa dalam keadaan kritikal tetapi tidak dapat disahkan oleh pasukan kita di lapangan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Leong berkata maklumat tidak sahih itu bukan sahaja mengganggu perancangan operasi, malah menjejaskan usaha untuk memberikan bantuan kepada mangsa yang benar-benar memerlukan.

DAPATKAN INFO TERKINI CUACA DAN BANJIR DI MALAYSIA DI SINI

Beliau berkata kelancaran operasi pasukannya amat bergantung kepada maklumat tepat, dan semua operasi dijalankan berdasarkan tahap risiko serta keperluan sebenar mangsa.

"Setiap laporan palsu boleh menyebabkan kelewatan beberapa minit dan itu mungkin membezakan antara selamat dan tidak," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan pihak tertentu agar tidak menyebarkan atau mereka-reka maklumat semata-mata untuk mendapatkan perhatian dan bantuan segera.

Beliau berkata warga Malaysia yang ingin mendapatkan bantuan diminta menghubungi pihaknya dan memberikan maklumat lengkap seperti lokasi, jumlah mangsa serta nombor telefon untuk dihubungi.

-- BERNAMA



#banjir Hatyai #rakyat Malaysia #ngo malaysia #misi bawa keluar rakyat Malaysia