Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Banjir Hatyai: Rakyat Malaysia ikat perut, catu makanan

Bernama 23/11/2025 | 08:27 MYT
Kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di Hatyai dan kawasan berhampiran terkandas berikutan banjir yang melanda kawasan itu. - Gambar/ Media sosial
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai sejak dua hari lepas berikutan banjir besar melanda kawasan itu terpaksa mengikat perut dan hanya bergantung dengan makanan disediakan pihak hotel selain bekalan yang sempat dibeli sebelum premis di sekitar bandar ditutup.


Ringkasan AI
  • Rakyat Malaysia terkandas di Hatyai akibat banjir besar, terpaksa mengikat perut dan berkongsi makanan yang terhad.
  • Mangsa banjir menghadapi cabaran bekalan elektrik terputus dan bateri telefon semakin berkurangan, menyukarkan komunikasi dengan keluarga di tanah air.
  • Kira-kira 4,000 rakyat Malaysia terperangkap di Hatyai, namun kebanyakannya berada dalam keadaan selamat di hotel penginapan dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing.


Seorang daripada mangsa Muhammad Aliff Ikhwan Ahmad, 31, berkata walaupun diberikan makanan oleh pihak hotel, mereka terpaksa mencatu dan berkongsi sedikit demi sedikit bagi mengalas perut.

"Makanan kami kena catu sebab tak banyak...hotel bagi chicken wrap dua kotak untuk satu bilik sahaja, jadi kami terpaksa kongsi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Muhammad Aliff Ikhwan yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata mereka juga berhadapan dengan cabaran bekalan elektrik terputus selain bateri telefon semakin berkurangan hingga menyukarkan untuk menghubungi keluarga di tanah air untuk memaklumkan keadaan semasa.

Pada masa sama, beliau berdoa agar banjir cepat surut untuk membolehkan mereka keluar dari negara itu untuk pulang ke rumah.

"Kalau petang ini tak hujan, mungkin kami boleh dapat loader untuk balik ke sempadan di Bukit Kayu Hitam," katanya yang memasuki Thailand pada 21 Nov bersama keluarganya .

Seorang lagi rakyat Malaysia Muhammad Ammar Jasni, 26, dari Sungai Petani yang turut berkongsi pengalaman ketika terkandas akibat bencana banjir di kawasan itu pada Jumaat lepas berkata air naik terlalu cepat selepas hujan lebat berterusan menyebabkan dia bersama beberapa rakannya terperangkap di sebuah hotel.

"Kami terperangkap di hotel berkenaan sebelum seorang daripada penduduk tempatan datang membantu membawa ke kawasan lebih selamat dan dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) di sebuah kem tentera," katanya

Menurutnya, di PPS berkenaan mereka terpaksa mencari bekalan makanan sendiri dari kedai-kedai yang tidak terjejas dengan banjir berikutan bahan makan disalurkan kerajaan Thailand di pusat pemindahan berkenaan tidak mencukupi.

Bagaimanapun, dia bersama rakannya bersyukur kerana banjir mulai surut dan mereka kini dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing.

Semalam, Kementerian Luar melaporkan, kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di Hatyai dan kawasan berhampiran terkandas berikutan banjir yang melanda kawasan itu, namun mereka semua berada dalam keadaan selamat dengan kebanyakannya berlindung di hotel penginapan.

-- BERNAMA


#banjir Hatyai #Hatyai banjir #rakyat Malaysia #catu makanan